Skip to main content

Malaysia

Malaysia lihat ruang perkukuh kerjasama pengajian tinggi dengan Indonesia

Aminuddin Hassim. FB KPT
Aminuddin berkata, kerjasama itu merangkumi kerjasama bagi mobiliti pelajar, penyeliaan dan penyelidikan bersama, program dwiijazah serta jaringan penyelidik muda antara universiti kedua-dua negara. - Facebook Kementerian Pendidikan Tinggi

JAKARTA: Malaysia melihat ruang besar untuk memperkukuh kerjasama dengan Indonesia dalam sektor pengajian tinggi ketika negara itu kini memperhebat usaha meningkatkan kapasiti tenaga akademik berkelulusan doktor falsafah (PhD) di bawah agenda Transformasi Nasional Menuju Indonesia Emas 2045.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Aminuddin Hassim berkata ia merangkumi kerjasama bagi mobiliti pelajar, penyeliaan dan penyelidikan bersama, program dwiijazah serta jaringan penyelidik muda antara universiti kedua-dua negara.

“Malaysia mengambil maklum akan agenda pendidikan tinggi Indonesia kini mendukung Transformasi Nasional Menuju Indonesia Emas 2045 dengan penekanan kepada peningkatan bilangan tenaga akademik berkelulusan doktor falsafah. 

“Difahamkan sekitar satu perempat pensyarah di Indonesia kini berkualifikasi doktor falsafah dengan sasaran peningkatan kepada kira-kira satu pertiga menjelang 2029 dan Malaysia melihat ruang besar untuk memperkukuh kerjasama dengan Indonesia dalam pengajian pascasiswazah dan PhD,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan program Mega Ayo Kuliah di Malaysia 2026, di sini pada Sabtu. 

Program anjuran Education Malaysia Global Services (EMGS) dan KPT yang diadakan di Hotel Kempinski, di sini, menghimpunkan 28 institusi pendidikan tinggi Malaysia bagi mempromosi peluang melanjutkan pengajian di Malaysia.

Turut hadir Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia Farzamie Sarkawi dan Ketua Pegawai Eksekutif EMGS Novie Tajuddin.

Aminuddin berkata hubungan pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia terus berkembang apabila enrolmen pelajar Indonesia di Malaysia melebihi 12,000 orang pada 2025, sekali gus menjadikan Indonesia negara kedua tertinggi dari segi enrolmen pelajar antarabangsa di Malaysia.

Menurut data EMGS, jumlah berkenaan meningkat berbanding 9,695 pelajar pada 2024.

Aminuddin berkata perkembangan itu memberi asas kukuh untuk melihat Malaysia dan Indonesia bukan sahaja sebagai rakan mobiliti pelajar, malah rakan pembangunan bakat di peringkat serantau.

Beliau berkata pendidikan tinggi kini bukan sekadar melahirkan graduan, tetapi menjadi instrumen strategik untuk memperkukuh ekonomi, membangunkan teknologi dan menyediakan generasi muda menghadapi perubahan global.

Beliau berkata aspirasi Malaysia yang menekankan penyelidikan berimpak, kerjasama universiti-industri dan pengkomersialan inovasi adalah seiring dengan agenda penyelidikan Indonesia dalam bidang strategik termasuk sekuriti makanan, tenaga, kesihatan, maritim, pendigitalan, kecerdasan buatan, semikonduktor serta pembuatan maju.

Beliau berkata Malaysia percaya masa depan pendidikan tinggi di rantau ini perlu dibina secara bersama kerana kedua-dua negara mempunyai peranan penting sebagai pemangkin kepada ekosistem pendidikan tinggi ASEAN yang lebih terbuka, inklusif dan berdaya saing.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement