KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai jambatan dialog, pusat kecemerlangan pendidikan tinggi dan rakan strategik dalam membangunkan ekosistem ilmu yang inklusif, progresif dan berpaksikan nilai.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata matlamat itu selari dengan penganjuran Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT 2026) ke-8 yang menjadi platform penting dalam mempertemukan pelbagai pandangan serta membina jaringan kerjasama antarabangsa.
Katanya persidangan itu juga bertujuan menghasilkan idea dan penyelesaian yang mampu memberi manfaat kepada ummah serta masyarakat sejagat.
"Malam tadi saya pulang ke Ipoh bagi menghadiri Majlis Makan Malam sempena WCIT2026 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang menghimpunkan lebih 180 delegasi, sarjana, penyelidik dan pemikir dari pelbagai negara.
"Mereka berkongsi komitmen untuk memperkukuh wacana ilmu serta memperkasa pemikiran Islam dalam mendepani cabaran dunia masa kini," katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.
Zambry berkata menerusi ucapannya pada majlis itu, beliau menegaskan bahawa dunia Islam hari ini memerlukan lebih daripada sekadar nostalgia terhadap kegemilangan silam.
Masa depan umat perlu dibina berasaskan ilmu, penyelidikan, inovasi, kepimpinan yang berintegriti serta institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing.
"Pendidikan mesti kekal melangkaui sempadan politik, konflik dan teknologi kerana ilmu ialah warisan bersama seluruh umat manusia, bukan milik mana-mana negara atau tamadun.
"Dengan mengambil iktibar daripada sejarah seperti kemusnahan Baghdad, Granada, Sarajevo dan konflik semasa di Palestin, ucapan ini mengingatkan bahawa apabila universiti dan perpustakaan dimusnahkan, yang hilang bukan sekadar bangunan tetapi masa depan sesebuah tamadun," katanya.
Beliau turut berharap persidangan WCIT 2026 itu yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini berjalan lancar bagi melahirkan resolusi dan gagasan baharu yang dapat menyumbang kepada kemajuan dunia Islam dan kesejahteraan global.
-- BERNAMA