Skip to main content

Malaysia

Malaysia Airlines diiktiraf syarikat penerbangan Seven Star PLUS

MAS Seven Star PLUS
MAG menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai bukti kukuh terhadap budaya keselamatan yang dibina secara konsisten dalam organisasi. - Foto Airlineratings.com

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines diiktiraf sebagai syarikat penerbangan bertaraf keselamatan Seven Star PLUS oleh portal penilaian bebas AirlineRatings.com, sekali gus meletakkan syarikat penerbangan negara itu dalam kelompok elit global.

Pengiktirafan berprestij itu menempatkan Malaysia Airlines sebaris dengan beberapa syarikat penerbangan utama dunia termasuk Etihad Airways, Cathay Pacific dan Air New Zealand, yang terkenal dengan standard keselamatan kabin dan operasi yang tinggi.

Menurut kenyataan itu, penilaian tersebut dibuat berdasarkan audit bebas yang menilai pematuhan keselamatan kru kabin dalam keadaan penerbangan sebenar. Audit itu dijalankan secara anonim merentasi enam penerbangan berasingan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirlineRatings.com, Sharon Petersen berkata, antara aspek yang menonjol adalah tahap disiplin dan kewaspadaan kru Malaysia Airlines dalam memastikan penumpang kekal duduk apabila lampu tali pinggang keledar dinyalakan.

“Mereka menunjukkan ketekunan tinggi sepanjang tempoh lampu tersebut dihidupkan, walaupun penumpang cenderung menjadi gelisah. Taklimat pintu kecemasan yang disampaikan juga amat mengagumkan,” katanya.

Beliau turut memuji usaha berterusan syarikat penerbangan itu dalam tempoh sedekad lalu, khususnya dalam aspek pengurusan sumber kru, faktor manusia serta pengurusan keletihan, yang disifatkan sebagai contoh terbaik dalam industri.

Sementara itu, Malaysia Aviation Group (MAG) yang merupakan syarikat induk Malaysia Airlines menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai bukti kukuh terhadap budaya keselamatan yang dibina secara konsisten dalam organisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan MAG, Bryan Foong berkata, pencapaian itu mencerminkan disiplin operasi, profesionalisme kru serta amalan keselamatan yang teguh dalam kalangan warga kerja.

“Keselamatan menjadi asas kepada setiap aspek perniagaan kami dan merupakan tanggungjawab bersama seluruh tenaga kerja.

"Pengiktirafan ini memperkukuh komitmen kami untuk terus meningkatkan keupayaan serta mengekalkan standard keselamatan tertinggi kepada penumpang,” tambahnya.

Seven Star PLUS merupakan tahap penarafan keselamatan yang lebih tinggi dan hanya diberikan kepada syarikat penerbangan yang telah memiliki penarafan maksimum tujuh bintang sebelum ini.

Untuk melayakkan diri, sesebuah syarikat penerbangan perlu melalui audit ketat melibatkan pelbagai kriteria keselamatan dalam operasi sebenar, termasuk kecekapan kru, prosedur kabin serta pengendalian situasi seperti turbulens.

Pengiktirafan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia Airlines sebagai antara syarikat penerbangan yang memberi keutamaan tinggi terhadap keselamatan dan kecemerlangan operasi di peringkat global.

 

 

Must Watch Video

Advertisement