KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 12 Okt depan untuk pendengaran injunksi interim inter-parte (dua pihak) terhadap blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo dalam kes saman dikemukakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Hakim Datuk Dr Arik Sanusi Yeop Johari menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes hari ini yang turut dihadiri peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, mewakili Wan Muhammad Azri.
"Pihak-pihak perlu memfailkan afidavit jawapan pada 20 Julai, manakala afidavit balasan pada 3 Ogos. Hujahan pula perlu difailkan pada 24 Ogos dan hujahan balas pada 7 Sept. Mahkamah melanjutkan injunksi ad-interim," kata hakim itu.
Pada 19 Jun lepas, mahkamah membenarkan injunksi interim ex-parte (sebelah pihak) yang dipohon MCMC bagi menghalang Wan Muhammad Azri daripada menerbitkan sebarang pernyataan berunsur fitnah terhadap suruhanjaya berkenaan serta menghentikan serta-merta penerbitan dan penyebaran kandungan memudaratkan dalam talian melalui media sosial.
Selain itu, Wan Muhammad Azri tidak boleh menggunakan mana-mana platform media sosial untuk menyebarkan kandungan palsu, mengelirukan atau memudaratkan sama ada melalui akaun sedia ada atau akaun baharu.
Terdahulu, peguam Nurshafiqa Balqish Jaffri yang mewakili MCMC memaklumkan mahkamah bahawa Wan Muhammad Azri selaku defendan telah memasukkan kehadiran dalam kes saman itu.
"Hari ini ditetapkan untuk pendengaran inter-parte, namun defendan telah memasukkan kehadiran dan kedua-dua pihak bersetuju untuk satu pendengaran inter-parte ditetapkan selepas menjawab afidavit. Saya juga mohon mahkamah melanjutkan perintah injunksi ad-interim sehingga pelupusan permohonan ini," katanya.
Muhammad Rafique mengesahkan perkara itu.
Pada 27 Mei lepas, MCMC memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri dengan mendakwa defendan menerusi akaun media sosialnya mengeluarkan kenyataan fitnah kononnya suruhanjaya itu menyekat laporan mahkamahnya yang melibatkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, MCMC berkata pihaknya tidak pernah terlibat dalam sebarang bentuk penapisan dalam penerbitan berhubung kes Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur antara Fahmi dan defendan.
Oleh itu, MCMC menegaskan kenyataan defendan tidak benar dan tidak berasas selain menjejaskan keyakinan awam terhadap suruhanjaya berkenaan.
-- BERNAMA