Skip to main content

Dunia

[KOLUMNIS] Gaza dan perang generasi kelima: Pertarungan merebut makna, naratif dan ingatan

FILE PHOTO: A drone view shows damaged and destroyed buildings, destroyed in the Israeli military offensive, following a ceasefire between Israel and Hamas, in Khan Younis in the southern Gaza Strip January 24, 2025. REUTERS/Mohammed Salem/File Photo
Gaza bukan hanya dibom sebagai sebuah wilayah. Gaza turut diserang sebagai sebuah makna. - Gambar/ Reuters

GAZA hari ini bukan sekadar medan perang dalam pengertian lama. Ia bukan hanya tentang kereta kebal, pesawat tempur, bom, sempadan dan operasi ketenteraan. Semua itu memang berlaku. Tubuh manusia hancur. Rumah musnah. Hospital lumpuh. Sekolah menjadi kubur. Khemah pelarian menjadi sasaran. Tetapi di atas semua itu, Gaza juga menjadi medan satu bentuk perang yang lebih halus, lebih licik dan lebih dalam kesannya: perang terhadap kesedaran manusia.

Inilah yang sering disebut dalam wacana strategi moden sebagai fifth-generation warfare atau perang generasi kelima. Istilah ini sendiri tidak mempunyai satu definisi yang disepakati sepenuhnya. Sebab itu kita perlu berhati-hati menggunakannya. Namun secara umum, ia merujuk kepada bentuk konflik yang tidak lagi hanya bergantung kepada kekerasan fizikal, tetapi bergerak melalui persepsi, naratif, data, teknologi, media, psikologi, undang-undang, algoritma dan kekaburan maklumat.

Armin Krishnan, dalam kajiannya tentang fifth-generation warfare, perang hibrid dan konflik zon kelabu, menyatakan bahawa bentuk konflik moden semakin kurang berpusat kepada penggunaan kekerasan semata-mata, tetapi semakin tertumpu pada pengurusan persepsi, naratif, konflik tidak simetri, penggunaan norma secara bermusuhan, serta tindakan yang kabur dan sukar dipertanggungjawabkan.

Kerangka ini membantu kita membaca Gaza dengan lebih cermat. Gaza bukan hanya dibom sebagai sebuah wilayah. Gaza turut diserang sebagai sebuah makna. Apabila rumah dibom, yang dimusnahkan bukan hanya batu dan simen. Apabila hospital lumpuh, yang dihancurkan bukan hanya sistem kesihatan. Apabila wartawan dibunuh, yang dipadamkan bukan hanya nyawa seorang saksi. Apabila internet terputus, yang diputuskan bukan hanya talian komunikasi. Semua itu bergerak dalam satu medan yang lebih besar: medan untuk mengawal apa yang boleh dilihat dunia, apa yang boleh dipercayai dunia, dan apa yang akhirnya akan diingati dunia.

Di sinilah perang naratif memainkan peranan. Dalam perang biasa, pihak yang kuat mahu menguasai tanah. Dalam perang generasi kelima, pihak yang kuat mahu menguasai tafsiran terhadap tanah itu. Gaza mahu digambarkan bukan sebagai sebuah masyarakat yang sedang dimusnahkan, tetapi sebagai “masalah keselamatan”. Palestin mahu dipersembahkan bukan sebagai bangsa yang dijajah, tetapi sebagai ancaman yang perlu dikawal. Korban awam mahu ditukar menjadi “kerosakan sampingan”. Kanak-kanak yang terbunuh mahu disembunyikan di sebalik istilah “operasi ketenteraan”.

Di sini pandangan Edward Said masih sangat relevan. Dalam Orientalism, Said menunjukkan bagaimana pengetahuan, representasi dan kuasa saling berkait dalam cara Barat membayangkan Timur. Dalam The Question of Palestine, beliau pula berusaha menjadikan Palestin sebagai subjek perbahasan serius, bukan sekadar objek yang ditafsir oleh kuasa luar.

Jika dibawa ke Gaza hari ini, persoalan Said menjadi sangat penting: siapa yang berhak menamakan realiti Palestin? Adakah Palestin hanya akan muncul dalam wacana antarabangsa sebagai “krisis kemanusiaan”, “isu keselamatan”, atau “konflik dua pihak”? Atau Palestin mesti dibaca sebagai bangsa yang mengalami penjajahan, pengusiran, pengepungan dan pemadaman sejarah?

Bahasa menjadi senjata. Angka menjadi medan pertikaian. Gambar menjadi bahan propaganda. Tangisan ibu menjadi sesuatu yang perlu “disemak dahulu”. Jeritan seorang ayah yang mengangkat jasad anaknya tidak cukup untuk membuktikan penderitaan. Dalam perang ini, Palestin bukan sahaja perlu bertahan daripada bom; mereka juga dipaksa membuktikan bahawa mereka benar-benar sedang dibunuh.

Ini antara bentuk keganasan paling halus dalam perang moden. Mangsa tidak cukup sekadar mati. Mereka juga mesti meyakinkan dunia bahawa kematian mereka sah untuk diratapi.

Di sini pemikiran Judith Butler tentang grievability boleh membantu. Dalam Frames of War: When Is Life Grievable?, Butler membahaskan bagaimana media dan kerangka perang menentukan nyawa siapa yang dilihat sebagai nyawa, dan kematian siapa yang dianggap layak diratapi. Beliau meneliti bagaimana gambaran media tentang keganasan negara mempengaruhi cara Barat memahami kehidupan manusia, sehingga sebahagian populasi boleh dipersembahkan sebagai ancaman, bukan sebagai manusia yang perlu dilindungi.

Jika kerangka Butler ini diterapkan kepada Gaza, kita dapat melihat satu persoalan yang sangat menyakitkan: mengapa sebahagian kematian segera menjadi tragedi dunia, sementara kematian Palestin sering perlu melalui proses pembuktian yang panjang sebelum diakui sebagai penderitaan manusia?

Sebab itu kita melihat angka korban Palestin sering dipertikaikan dengan bahasa yang meragukan. Sumber Palestin dilabel sedemikian rupa supaya pembaca berhati-hati untuk percaya. Pada masa yang sama, penderitaan Israel sering dipersembahkan dengan wajah, nama, cerita keluarga dan butiran peribadi. Sebuah kajian praterbit di arXiv oleh Bedoor AlShebli, Bruno Gabriel Salvador Casara dan Anne Maass, yang menganalisis lebih 14,000 artikel berita tentang perang Gaza daripada The New York Times, BBC, CNN dan Al Jazeera English, mendapati media Barat cenderung menggambarkan mangsa Israel sebagai individu yang boleh dikenal pasti, manakala mangsa Palestin lebih kerap dipersembahkan sebagai kelompok angka yang tidak bernama. Kajian itu juga mendapati angka korban Palestin lebih kerap dilaporkan dengan bahasa yang meragukan kredibiliti sumbernya.

Image
Palestinians inspect the damage at the site of an Israeli strike on Wednesday in Gaza City, May 28, 2026. REUTERS/Dawoud Abu Alkas
Gaza bukan hanya dibom sebagai sebuah wilayah. Gaza turut diserang sebagai sebuah makna. - Gambar/ Reuters

Maka, Gaza bukan sahaja menghadapi peluru berpandu. Gaza juga menghadapi proses penyahmanusiaan yang sistematik.

Penyahmanusiaan ini tidak selalu datang dalam bentuk makian kasar. Kadang-kadang ia datang dalam bentuk tajuk berita yang “neutral”. Kadang-kadang ia muncul dalam istilah yang kelihatan teknikal. Kadang-kadang ia disembunyikan dalam ayat pasif: “orang awam terbunuh”, tanpa menyebut siapa yang membunuh. “Hospital musnah”, tanpa menjelaskan siapa yang menyerang. “Pertempuran berlaku”, seolah-olah kedua-dua pihak memiliki kekuatan yang sama. Dalam bahasa seperti ini, kekerasan kehilangan pelakunya. Penindasan menjadi kabur. Penjajah menjadi sekadar “salah satu pihak dalam konflik”.

Di ruang digital pula, perang Gaza memperlihatkan bagaimana platform media sosial bukan lagi sekadar tempat orang berkongsi pandangan. Ia telah menjadi medan tempur. Algoritma menentukan suara siapa yang naik, suara siapa yang tenggelam, imej siapa yang dianggap terlalu sensitif, dan penderitaan siapa yang melanggar “garis panduan komuniti”.

Helga Tawil-Souri telah menulis tentang Gaza sebagai ruang “pendudukan digital” dalam artikelnya Digital Occupation: Gaza’s High-Tech Enclosure. Beliau membahaskan bagaimana kawalan terhadap infrastruktur komunikasi, teknologi, sempadan, rangkaian dan mobiliti menjadi sebahagian daripada logik pendudukan moden di Gaza.

Ini penting. Penjajahan hari ini tidak hanya berlaku melalui pos kawalan dan tembok konkrit. Ia juga berlaku melalui kabel, frekuensi, pelayan, permit, akses internet, rangkaian telefon, kamera, pangkalan data dan sistem pengawasan. Dalam bahasa yang lebih mudah, penjajahan tidak lagi hanya mengawal tubuh; ia juga mengawal aliran maklumat.

Human Rights Watch mendokumentasikan lebih 1,050 kes penurunan, penyingkiran atau penindasan kandungan berkaitan Palestin di Instagram dan Facebook antara Oktober dan November 2023. Daripada jumlah itu, 1,049 kes melibatkan kandungan aman yang menyokong Palestin atau mendokumentasikan pelanggaran hak asasi. HRW menyifatkan masalah itu sebagai sistemik dan global.

Dalam perang generasi kelima, penapisan tidak semestinya berlaku seperti zaman lama, ketika akhbar dirampas atau siaran televisyen dihentikan. Hari ini penapisan boleh berlaku melalui penurunan capaian, sekatan akaun, penandaan sebagai spam, pengurangan visibiliti, atau shadow banning. Ia kelihatan teknikal, tetapi kesannya politik. Ia tidak membakar buku, tetapi ia menenggelamkan suara.

Lebih berbahaya, pengguna biasa kadang-kadang tidak sedar bahawa mereka sedang berada dalam medan perang. Mereka menyangka mereka hanya sedang menatal skrin. Mereka menyangka mereka hanya sedang melihat “apa yang kebetulan muncul”. Padahal apa yang muncul, apa yang hilang, apa yang viral dan apa yang tenggelam sering kali ditentukan oleh struktur kuasa digital yang tidak neutral.

Kemudian datang pula perang komunikasi. Gaza berulang kali berdepan gangguan internet dan komunikasi. Access Now melaporkan bahawa trafik internet Gaza jatuh lebih 80 peratus sepanjang Oktober 2023 akibat gabungan serangan terhadap infrastruktur telekomunikasi awam, sekatan elektrik, kekurangan bahan api, serta gangguan teknikal.

Ini bukan isu teknikal semata-mata. Apabila komunikasi diputuskan, mangsa kehilangan suara. Ambulans sukar dihubungi. Keluarga tidak tahu siapa hidup dan siapa mati. Wartawan tidak dapat menghantar laporan. Dunia luar tidak dapat melihat apa yang berlaku pada saat ia berlaku. Dalam keadaan seperti itu, pemadaman komunikasi menjadi sebahagian daripada pemadaman kesaksian.

Image
gaza, press,_Reuter
Dalam perang generasi kelima, saksi adalah ancaman. Wartawan adalah ancaman. Kamera adalah ancaman. Telefon bimbit adalah ancaman. Bukan kerana ia membawa senjata, tetapi kerana ia membawa bukti. - Gambar/ Reuters

Dalam perang generasi kelima, saksi adalah ancaman. Wartawan adalah ancaman. Kamera adalah ancaman. Telefon bimbit adalah ancaman. Bukan kerana ia membawa senjata, tetapi kerana ia membawa bukti.

Di sinilah kerja Eyal Weizman dan Forensic Architecture menjadi penting. Forensic Architecture menggunakan kaedah penyiasatan visual, seni bina, data terbuka, rakaman telefon, imej satelit dan analisis ruang untuk menyiasat keganasan negara dan pelanggaran hak asasi. Dalam siasatan mereka tentang pengeboman Rafah semasa perang Gaza 2014, mereka menganalisis corak serangan, kemusnahan rumah dan bukti visual bagi meneliti apa yang berlaku di lapangan.

Maksudnya, dalam dunia yang penuh penafian, bukti juga mesti belajar bercakap. Gambar bukan sekadar gambar. Bayang-bayang, asap, runtuhan, lokasi, masa, bunyi, trajektori peluru dan pola kemusnahan semuanya boleh menjadi saksi. Dalam konteks Gaza, ini amat penting kerana pihak yang kuat bukan sahaja memiliki senjata, tetapi juga memiliki kemampuan untuk menafikan, mengaburkan dan mengurus persepsi dunia.

Sebab itu pembunuhan wartawan di Gaza tidak boleh dibaca sekadar sebagai “risiko perang”. Wartawan Palestin bukan hanya pelapor. Mereka ialah arkib hidup. Mereka ialah mata dunia ketika mata dunia disekat daripada masuk. Mereka merakam ketika dunia lain berdebat. Mereka menulis ketika rumah mereka sendiri runtuh. Mereka melaporkan kematian orang lain sambil menunggu giliran nama mereka sendiri menjadi berita.

Di sinilah Gaza mendedahkan wajah sebenar perang moden. Ia bukan hanya perang antara tentera dan pejuang. Ia perang antara kuasa yang mahu memadam bukti dengan manusia yang mahu meninggalkan kesaksian.

Dimensi lain yang lebih menakutkan ialah penggunaan kecerdasan buatan dan sistem data dalam perang. Laporan +972 Magazine dan Local Call pada April 2024 mendakwa tentera Israel menggunakan sistem AI bernama Lavender untuk menandakan puluhan ribu warga Gaza sebagai sasaran berpotensi, dengan pengawasan manusia yang minimum. Reuters melaporkan bahawa Amerika Syarikat ketika itu sedang meneliti laporan tersebut, manakala IDF menafikan bahawa AI digunakan untuk mengenal pasti sasaran secara automatik dan mendakwa sistem itu hanya alat bantu penganalisis.

Apa pun penjelasan rasmi Israel, isu ini membuka satu persoalan besar: apakah yang berlaku apabila manusia yang hidup di bawah penjajahan ditukar menjadi data? Apakah yang berlaku apabila corak panggilan, lokasi, hubungan sosial dan pergerakan harian seseorang boleh diproses sebagai petunjuk ancaman? Apakah yang berlaku apabila keputusan hidup dan mati semakin bergantung kepada sistem yang tidak dapat disoal oleh mangsa?

Di sinilah Gaza menjadi makmal gelap perang masa depan.

Antony Loewenstein, dalam The Palestine Laboratory, berhujah bahawa Palestin telah menjadi makmal bagi kompleks ketenteraan-teknologi Israel, termasuk dalam bidang pengawasan, penahanan, kekerasan dan teknologi keselamatan yang kemudiannya dieksport ke dunia luar. Walaupun Loewenstein lebih dikenali sebagai wartawan penyiasatan berbanding sarjana akademik universiti, kerangka beliau penting kerana ia menjelaskan bagaimana kekerasan di Palestin tidak berhenti di Palestin. Ia diuji di sana, dinormalisasi di sana, kemudian dipasarkan sebagai teknologi keselamatan global.

Dalam konteks ini, Gaza tidak hanya menjadi mangsa perang. Gaza menjadi medan eksperimen. Tubuh Palestin menjadi data. Kehidupan Palestin menjadi medan ujian. Pengepungan menjadi model. Pengawasan menjadi produk. Kekerasan menjadi kepakaran.
Perang generasi kelima bukan sahaja mahu membunuh manusia. Ia mahu mengurus persepsi tentang pembunuhan itu. Ia mahu menjadikan pembunuhan kelihatan munasabah, teknikal, perlu, sah dan tidak dapat dielakkan. Ia mahu menukar tragedi menjadi data, penjajahan menjadi keselamatan, dan pembantaian menjadi “operasi”.

Di sinilah pandangan Noura Erakat tentang undang-undang antarabangsa juga penting. Dalam Justice for Some: Law and the Question of Palestine, Erakat menunjukkan bahawa undang-undang antarabangsa bukan medan yang neutral sepenuhnya. Ia boleh menjadi alat pembebasan, tetapi juga boleh digunakan secara strategik untuk mengekalkan ketidakseimbangan kuasa.

Image
Israeli army units block the road and prevent Palestinian villagers, supported by foreign and Israeli peace activists, from reaching their lands where Israeli settlers established a new outpost, at the West Bank town of Qabalan, southeast of Nablus, Saturday, July 4, 2026. (AP Photo/Majdi Mohammed)
Israel tidak hanya berperang dengan bom. Ia juga berperang dengan bahasa undang-undang: “hak mempertahankan diri”, “sasaran ketenteraan”, “zon selamat”, “evakuasi”, “proportionality”, “human shield". - Gambar/ AP

Ini membantu kita memahami satu lagi lapisan perang terhadap Gaza: perang undang-undang. Israel tidak hanya berperang dengan bom. Ia juga berperang dengan bahasa undang-undang: “hak mempertahankan diri”, “sasaran ketenteraan”, “zon selamat”, “evakuasi”, “proportionality”, “human shield”. Istilah-istilah ini boleh menjadi penting dalam undang-undang antarabangsa, tetapi ia juga boleh dimanipulasi untuk memberi rupa legal kepada tindakan yang pada hakikatnya menghancurkan masyarakat awam.
Lebih licik lagi, perang ini mencipta kekeliruan. Dalam banjir maklumat, orang awam menjadi letih. Setiap hari ada gambar, video, dakwaan, penafian, fact-check, propaganda, bot, komen palsu dan kempen tersusun. Akhirnya sebahagian manusia tidak lagi bertanya siapa yang menindas siapa. Mereka hanya berkata, “semua pihak ada propaganda.” Ayat itu kedengaran matang, tetapi kadang-kadang ia menjadi jalan mudah untuk lari daripada kebenaran.

Di sini, kajian tentang disinformasi dan konflik digital menjadi penting. Marc Owen Jones, seorang sarjana yang banyak meneliti disinformasi dan politik digital di Asia Barat, sering dirujuk dalam semakan fakta berkaitan maklumat palsu tentang perang Israel-Gaza. Associated Press, misalnya, merujuk kepada beliau ketika membetulkan klip lama ucapan Emir Qatar yang disalahgunakan dalam konteks perang selepas 7 Oktober 2023. Ini menunjukkan bahawa perang maklumat bukan teori kosong. Ia berlaku dalam bentuk klip lama yang dikitar semula, video palsu, konteks yang dipadam, terjemahan menyeleweng dan naratif yang sengaja dibina untuk mengelirukan orang awam.

Gaza mengajar kita bahawa dalam perang moden, solidariti tidak cukup hanya dengan emosi. Emosi penting, tetapi ia mesti disertai disiplin ilmu, ketelitian maklumat dan kesedaran naratif. Kita perlu berkongsi, tetapi jangan menjadi alat kepada maklumat palsu. Kita perlu marah, tetapi jangan membiarkan kemarahan mematikan ketepatan. Kita perlu berpihak, tetapi keberpihakan kepada Palestin mesti dibina atas kebenaran, bukan sekadar sentimen.

Kerana dalam perang generasi kelima, satu kesilapan maklumat boleh digunakan untuk memburukkan seluruh perjuangan. Satu gambar palsu boleh dijadikan alasan untuk menolak seribu bukti sebenar. Satu dakwaan yang tidak disemak boleh digunakan untuk mengatakan bahawa semua suara Palestin tidak boleh dipercayai.

Maka tugas kita bukan hanya menyebarkan berita Gaza. Tugas kita ialah mempertahankan makna Gaza.

Gaza bukan angka. Gaza bukan sekadar konflik. Gaza bukan isu bermusim. Gaza ialah cermin zaman. Di situ kita melihat bagaimana kuasa ketenteraan, teknologi, media, diplomasi, undang-undang dan platform digital boleh bergabung untuk menekan sebuah bangsa yang sudah lama dijajah.

Tetapi Gaza juga memperlihatkan sesuatu yang lain: bahawa manusia masih mampu melawan pemadaman. Seorang wartawan dengan telefon bimbitnya. Seorang doktor dengan catatan hariannya. Seorang ibu dengan suara yang menggigil. Seorang kanak-kanak yang berdiri di celah runtuhan. Seorang penyair yang menulis sebelum terbunuh. Semua ini menjadi gangguan kepada kuasa yang mahu membunuh tanpa disaksikan.

Sebab itu Gaza terus hidup dalam ingatan dunia, walaupun berkali-kali cuba dipadam.
Perang generasi kelima mahu menguasai fikiran manusia. Ia mahu kita ragu terhadap mangsa, letih terhadap kezaliman, sinis terhadap solidariti, dan akhirnya pasrah kepada naratif kuasa. Tetapi Gaza mengajar sebaliknya. Gaza mengajar bahawa tugas manusia merdeka ialah melihat dengan jernih, menamakan kezaliman dengan tepat, dan menjaga ingatan daripada dirampas.


Kerana penjajahan tidak hanya menang apabila tanah dirampas.
Penjajahan juga menang apabila makna dirampas.
Dan Gaza, dengan segala darah dan air matanya, sedang mempertahankan kedua-duanya.


*Artikel ini tulisan Muhammad Syahmi Afiq Mohd Shukari merupakan penulis dan pemerhati isu Palestin serta Asia Barat yang memberi tumpuan kepada aspek kemanusiaan, geopolitik dan sejarah. Beliau juga Pengurus di ILHAM Books, sebuah rumah penerbitan yang menerbitkan karya separa akademik, biografi, autobiografi, sejarah, pemikiran dan wacana sosial.

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
 

Must Watch Video

Advertisement