PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk menawarkan jawatan tetap kepada semua pegawai perubatan siswazah sebaik sahaja mereka menamatkan latihan siswazah menjelang 2028, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menerusi hantaran di media sosial hari ini, beliau berkata sasaran tersebut merupakan sebahagian daripada agenda reformasi berterusan kementerian melalui Pasukan Petugas Bersama Antara Kementerian (IMJTF).
“Menjelang 2028, KKM menyasarkan untuk menawarkan jawatan tetap kepada semua pegawai perubatan siswazah sebaik sahaja mereka menyelesaikan latihan. Inilah pendekatan whole-of-government yang sebenar.
“IMJTF kini mula menampakkan hasil dalam menangani isu sumber manusia yang telah berlarutan sejak sekian lama menerusi agenda reformasi yang sedang dilaksanakan. Kami mendengar kebimbangan anda dan sedang giat merapatkan jurang yang wujud. Tahun ini sahaja, 4,500 pegawai perubatan kontrak akan diserap ke jawatan tetap, selain 800 jawatan baharu yang diluluskan setiap tahun,” katanya.
Dzulkefly turut menegaskan bahawa tiada pembekuan pengambilan dilaksanakan walaupun berlaku penyelarasan semula peruntukan perbelanjaan operasi.
“Kita berada di landasan untuk mengisi lebih 18,000 kekosongan jawatan merentasi semua skim perkhidmatan kementerian sepanjang tahun 2026.
“Kita berusaha keras menangani masalah keletihan melampau atau burnout dengan menambah baik persekitaran kerja, namun menggantikan pakar perubatan masih menjadi cabaran yang kompleks dan memerlukan penyelesaian jangka panjang,” katanya.
Dzulkefly berkata beliau telah menugaskan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) yang baharu Datuk Dr Mohd Azman Yacob supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha merombak dan menyelesaikan isu berkaitan melahirkan pakar perubatan tempatan.
“Sama ada ia melalui program sarjana tempatan ataupun parallel pathway, kita perlu memastikan wujudnya ekosistem latihan yang mampan dan bertaraf dunia untuk penjagaan kesihatan profesional kita.
“Kita sedang memperbaiki sistem ini untuk memastikan ia benar-benar mengangkat martabat, khususnya para doktor muda kita,” katanya.
-- BERNAMA