KUALA LUMPUR: Seorang pelajar yang disyaki menikam rakan sekolahnya dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting, akan dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok, pada Selasa bagi permohonan reman.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, permohonan reman akan dilakukan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Menurut Mohd Akmalrizal, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa berusia 15 tahun cedera di bahagian badan dan bahu selepas dipercayai ditikam dalam insiden berkenaan.
Difahamkan, suspek yang juga berusia 15 tahun dilaporkan tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu dan sedang menjalani rawatan kesihatan.
Dalam kejadian itu, suspek dipercayai memasuki kawasan sekolah melalui pintu masuk utama sebelum insiden berlaku.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai bagaimana kejadian berlaku masih belum disahkan.
Suspek juga dilaporkan ditenangkan oleh guru sekolah sebelum pihak polis tiba di lokasi.
Sebelum itu, tular di media sosial beberapa rakaman video yang memaparkan seorang remaja perempuan berpakaian hitam berjalan di kawasan sekolah sambil memegang sebilah pisau.