Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Latihan Industri: Jambatan melahirkan bakat media digital masa hadapan

 Latihan industri
Seseorang pelatih atau pekerja dinilai melalui keupayaan menyelesaikan tugasan, bekerja di bawah tekanan, menyesuaikan diri dengan budaya organisasi dan menghasilkan output berkualiti.

TRANSFORMASI digital telah mengubah landskap industri media dan penyiaran dengan begitu pantas. Kandungan tidak lagi diterbitkan untuk satu platform semata-mata, sebaliknya perlu disesuaikan dengan pelbagai medium seperti televisyen, media sosial, platform penstriman dan aplikasi mudah alih. Perubahan ini menuntut tenaga kerja yang bukan sahaja menguasai ilmu komunikasi dan penyiaran, malah memiliki kemahiran teknikal, kreativiti, pemikiran kritis serta kebolehsuaian terhadap perkembangan teknologi.

Laporan Digital 2026: Malaysia oleh DataReportal (data Oktober 2025) menunjukkan bahawa 35.4 juta rakyat Malaysia atau sekitar 98 peratus daripada populasi merupakan pengguna internet, manakala 30.7 juta identiti pengguna media sosial, bersamaan kira-kira 85% daripada populasi, aktif menggunakan pelbagai platform digital. 

Malaysia turut merekodkan 44 juta langganan telefon mudah alih, bersamaan 122% daripada jumlah penduduk, menunjukkan bahawa ramai individu memiliki lebih daripada satu talian. Statistik ini memperlihatkan peningkatan permintaan terhadap kandungan digital berkualiti dan keperluan melahirkan lebih ramai bakat media digital.

Image
 Latihan industri
Seseorang pelatih atau pekerja dinilai melalui keupayaan menyelesaikan tugasan, bekerja di bawah tekanan, menyesuaikan diri dengan budaya organisasi dan menghasilkan output berkualiti. 

Latihan industri sebagai medan menguji kompetensi

Pengalaman mengadakan lawatan akademik ke sebuah syarikat produksi multiplatform bagi meninjau prestasi dua orang pelajar Program Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran), Universiti Islam Selangor (UIS), yang sedang menjalani latihan industri memberikan gambaran jelas tentang keperluan sebenar industri hari ini.

Maklum balas daripada majikan dan penyelia industri amat positif. Kedua-dua pelajar bukan sahaja menunjukkan prestasi yang cemerlang, malah membuktikan bahawa latihan industri merupakan platform terbaik untuk menghubungkan dunia akademik dengan dunia pekerjaan.

Di tempat kerja, seseorang dinilai bukan semata-mata berdasarkan keputusan peperiksaan, tetapi melalui keupayaan menyelesaikan tugasan, bekerja di bawah tekanan, menyesuaikan diri dengan budaya organisasi dan menghasilkan output berkualiti.

Sepanjang latihan industri, kedua-dua pelajar tersebut memperlihatkan kemampuan mengendalikan kamera profesional, mengoperasikan peralatan produksi, menggunakan perisian penyuntingan video, bertindak sebagai floor manager, mengendalikan switcher, merancang kandungan media sosial serta menyumbang idea kreatif dalam sesi percambahan fikiran. Mereka turut menunjukkan inisiatif membantu menyelesaikan masalah teknikal berkaitan platform digital dan melaksanakan tugasan dengan pantas tanpa menjejaskan kualiti kerja.

Pengalaman ini membuktikan bahawa latihan industri bukan sekadar memenuhi keperluan kurikulum universiti, malah menjadi medan sebenar untuk menilai tahap kompetensi bakal graduan.

Industri media digital memerlukan bakat hibrid

Landskap penyiaran kini berubah daripada model konvensional kepada ekosistem media digital yang bersifat multiplatform. Organisasi tidak lagi mencari pekerja yang hanya mahir dalam satu bidang, sebaliknya memerlukan individu yang mampu menggabungkan pelbagai kemahiran.

Konsep hybrid talent merujuk kepada individu yang memiliki gabungan kemahiran daripada lebih daripada satu bidang, membolehkan mereka menyesuaikan diri dan berfungsi secara berkesan dalam persekitaran kerja yang sentiasa berubah. Seorang graduan komunikasi hari ini perlu berupaya menghasilkan kandungan, mengendalikan kamera, menyunting video, mengurus media sosial, memahami analisis data digital, mengendalikan penstriman langsung serta memanfaatkan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Perkembangan platform seperti YouTube, TikTok, Instagram dan Facebook menjadikan kandungan video digital sebagai medium komunikasi yang dominan. Oleh itu, organisasi memerlukan tenaga kerja yang mampu menghasilkan kandungan secara kreatif, pantas dan relevan mengikut keperluan setiap platform.

Kedua-dua pelajar UIS yang ditemui jelas memperlihatkan ciri-ciri bakat hibrid tersebut. Mereka bukan sahaja cekap menggunakan teknologi, malah mampu menguasai format baharu, memahami trend kandungan digital dan menyesuaikan diri dengan perubahan dalam operasi produksi.

Image
 Latihan industri
Seseorang pelatih atau pekerja dinilai melalui keupayaan menyelesaikan tugasan, bekerja di bawah tekanan, menyesuaikan diri dengan budaya organisasi dan menghasilkan output berkualiti. 

Kemahiran insaniah terus menjadi nilai tambah

Walaupun teknologi berkembang pesat, kejayaan seseorang pekerja masih bergantung kepada nilai kemanusiaan dan kemahiran insaniah.

Majikan menghargai keupayaan pelatih berkomunikasi dengan baik, mengemukakan pandangan secara profesional, bekerjasama dalam pasukan serta menunjukkan disiplin dan komitmen yang tinggi. Kemahiran teknikal mungkin membuka peluang pekerjaan, namun sikap, integriti, komunikasi dan semangat kerja berpasukan menjadi faktor utama yang menentukan kejayaan jangka panjang.

Dalam perspektif Islam, nilai-nilai ini selari dengan konsep amanah, itqan (melaksanakan pekerjaan dengan sebaik-baiknya) dan ihsan. Profesionalisme yang dipandu oleh nilai tersebut bukan sahaja meningkatkan prestasi individu, malah membentuk budaya kerja yang lebih beretika dan harmoni.

Sinergi universiti dan industri memperkukuh pembangunan bakat

Pengalaman ini mengukuhkan keyakinan bahawa hubungan strategik antara universiti dan industri perlu terus diperkasakan. Latihan industri bukan sekadar penempatan pelajar, tetapi merupakan proses pembelajaran dua hala yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Universiti memperoleh maklum balas untuk menambah baik kurikulum, manakala organisasi berpeluang mengenal pasti bakat muda yang berpotensi sebelum mereka memasuki pasaran pekerjaan.

Kejayaan pelajar UIS ini membuktikan bahawa pendekatan pembelajaran yang menggabungkan teori, latihan amali, projek produksi dan pendedahan kepada teknologi semasa mampu melahirkan graduan yang diyakini industri. Mereka bukan sahaja menguasai aspek teknikal, malah memiliki kreativiti, daya fikir, kemahiran menyelesaikan masalah dan kebolehan bekerja dalam persekitaran yang dinamik.

Dalam era kecerdasan buatan dan ekonomi digital, pembangunan bakat tidak lagi boleh tertumpu kepada penguasaan ilmu semata-mata. Graduan perlu mempunyai sikap pembelajaran sepanjang hayat, celik teknologi, mampu menyesuaikan diri dengan perubahan serta memiliki jati diri yang kukuh.

Latihan industri merupakan jambatan yang menghubungkan bilik kuliah dengan dunia profesional. Pengalaman melihat sendiri prestasi pelajar di lapangan membuktikan bahawa pelaburan universiti dalam membangunkan kurikulum yang relevan, menyediakan prasarana yang sesuai, memperkukuh kepakaran tenaga akademik serta menjalin kerjasama erat dengan industri mampu melahirkan graduan yang kompeten dan diyakini.

Inilah model pembangunan bakat yang perlu terus diperkasakan agar Malaysia dapat melahirkan generasi profesional media yang bukan sahaja mahir dari sudut teknikal, malah berintegriti, berakhlak dan bersedia memimpin transformasi industri media digital pada masa hadapan.


*Artikel ini tulisan Rahmahtunnisah Sailin, Pensyarah Komunikasi dan Media / Ketua Latihan Industri dan Jaringan Komuniti, Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor.

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
 

Must Watch Video

Advertisement