Skip to main content

Politik

PRN Johor: Tidak perlu kerajaan campuran jika kerusi BN mencukupi – Mohamad Hasan

Johor Memilih, Datuk Seri Mohamad Hasan, PRN Johor, Barisan Nasional. Kredit Fitri Awani
Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri boleh diteruskan seperti penggal lalu sekiranya BN berjaya memperoleh majoriti untuk mentadbir secara bersendirian. - Foto Astro AWANI

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) tidak melihat keperluan untuk membentuk kerajaan campuran bagi mentadbir Johor sekiranya gabungan itu memperoleh kerusi mencukupi untuk menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri boleh diteruskan seperti penggal lalu sekiranya BN berjaya memperoleh majoriti untuk mentadbir secara bersendirian.

"Kalau BN boleh menubuhkan kerajaan, saya rasa kerajaan BN akan diteruskan seperti mana penggal lepas.

"Kalau dah cukup kerusi, saya rasakan tidak ada sebab mengapa kita perlu mengadakan kerajaan campuran," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan pembentukan kerajaan campuran sekiranya tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti mudah selepas pilihan raya.

Merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menggesa calon-calon BN terus bekerja keras hingga saat akhir kempen, Mohamad berkata mesej itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai petunjuk kepada sebarang perancangan pembentukan kerajaan campuran.

Sebaliknya, beliau berkata kenyataan itu bertujuan memastikan semua calon tidak terlalu selesa dan terus berusaha mendapatkan sokongan pengundi sehingga hari pengundian.

"Apa yang jelas dikatakan oleh Datuk Onn Hafiz, supaya calon bekerja kuat untuk menang, jangan rasa selesa. Maksudnya, bekerjalah sehingga saat terakhir untuk mendapatkan sokongan yang baik daripada pengundi-pengundi," katanya lagi.

PRN Johor diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 23 Jun lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 11 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai.

Must Watch Video

Advertisement