PUTRAJAYA: Golongan muda diseru menjadikan peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai sumber inspirasi untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan dalam kehidupan seharian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan berkata, penghijrahan Rasulullah SAW bukan sekadar peristiwa bersejarah, malah menjadi detik penting yang mencetuskan transformasi besar dalam pembinaan tamadun Islam.
Menurut beliau, generasi muda Malaysia memiliki potensi dan bakat besar, justeru mereka perlu mencontohi semangat hijrah dengan memberi penekanan kepada pembentukan akhlak, adab dan penguasaan ilmu.
“Hijrah Rasulullah SAW merupakan titik perubahan yang membawa pembaharuan menyeluruh. Perubahan itu bermula dengan akhlak, adab dan ilmu, dan inilah nilai yang perlu dihayati oleh anak-anak muda hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program Tausiyyah dan Majlis Bacaan Doa sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M di Masjid Putra, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata tema sambutan tahun ini, “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”, bertepatan dengan keperluan semasa negara yang berdepan pelbagai cabaran, termasuk isu sosial melibatkan golongan belia.
Beliau turut menjelaskan penganjuran sambutan kali ini mempunyai keistimewaan tersendiri apabila program utama diadakan di masjid sebagai simbolik kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah.
Katanya, pemilihan Masjid Putra sebagai lokasi sambutan bertujuan menghidupkan kembali penghayatan terhadap perjuangan Baginda, memandangkan masjid merupakan institusi pertama yang dibangunkan selepas penghijrahan dan menjadi asas kepada pembentukan tamadun Islam.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa akan berlangsung di Auditorium JAKIM pada 18 Jun ini, dengan penyertaan dianggarkan mencecah 1,000 orang.