Skip to main content

Malaysia

Lotus's Malaysia mohon maaf susulan insiden wanita hamil didakwa mencuri

Sumber: LOTUS
Kenyataan rasmi yang disiarkan oleh Lotus's Malaysia pada Selasa berhubung dakwaan tuduhan yang dikenakan keatas seorang pelanggan yang juga wanita hamil di sebuah Pasar Raya Lotus's, di Selangor.

KUALA LUMPUR: Lotus’s Malaysia mengesahkan telah mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan yang terbabit susulan insiden seorang pelanggan berumur 23 tahun yang merupakan wanita hamil didakwa dituduh mencuri di sebuah cawangan pasar raya Lotus's di Selangor, pada 12 Julai lalu.

Dalam satu kenyataan, Lotus's Malaysia memaklumkan, tindakan berkenaan dibuat selepas siasatan dalaman berhubung insiden yang tular di media sosial selesai dijalankan.

Menurut syarikat tersebut, hasil siasatan mendapati pengendalian insiden berkenaan telah dijalankan dengan tidak mematuhi standard layanan pelanggan serta prosedur perkhidmatan yang telah ditetapkan syarikat.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan memaklumkan, tindakan sewajarnya telah diambil bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa hadapan.

Lotus’s Malaysia dalam kenyataan rasminya turut menzahirkan permohonan maaf kepada pelanggan terbabit dan keluarganya atas pengalaman yang dilalui ketika membeli-belah di premis berkenaan.

Menurut syarikat itu, tiada pelanggan sepatutnya berdepan situasi sedemikian, selain mengakui kesulitan yang dialami oleh keluarga terbabit amat dikesali.

Dalam kenyataan sama, Lotus’s Malaysia memaklumkan beberapa penambahbaikan sedang dilaksanakan termasuk memperkukuh garis panduan operasi, prosedur kerja serta latihan kepada kakitangan bagi memastikan standard perkhidmatan pelanggan terus dipertingkat dan dipatuhi.

Syarikat itu turut menggesa orang ramai supaya menghormati privasi, kesejahteraan serta maruah semua individu yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Pada masa sama, Lotus’s Malaysia menegaskan komitmennya untuk menjadikan insiden tersebut sebagai pengajaran dalam usaha memperkukuh mutu perkhidmatan serta mengekalkan kepercayaan pelanggan terhadap jenamanya.

Sebelum ini, seorang lelaki dikenali sebagai Fareez, 25, mendakwa isterinya yang berusia 23 tahun dan sedang sarat mengandung diarahkan berdiri kira-kira 20 minit oleh seorang penyelia di sebuah cawangan pasar raya Lotus’s di Selangor selepas disyaki mencuri barangan yang didakwa disorokkan di dalam pakaiannya.

Dakwaan tersebut tular di media sosial selepas pasangan berkenaan berkongsi pengalaman mereka, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen mengenai prosedur pengendalian pelanggan oleh premis peruncitan, khususnya melibatkan golongan rentan termasuk wanita hamil. 

Susulan itu, Lotus’s Malaysia menjalankan siasatan dalaman dan mengumumkan tindakan tatatertib terhadap kakitangan yang terlibat serta beberapa langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

 

 

Must Watch Video

Advertisement