Skip to main content

Dunia

Serangan AS langgar nilai asas kemanusiaan - Iran

Spokeswoman of the government of the Islamic Republic of Iran, Fatemeh Mohajerani
Jurucakap kerajaan Iran, Fatemeh Mohajerani mengutuk sekeras-kerasnya serangan musuh di beberapa bahagian negara itu, yang telah menyebabkan kematian lebih 30 orang. - X @MarioNawfal

TEHRAN: Iran menyifatkan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran sebagai pelanggaran nilai kemanusiaan asas dan norma undang-undang antarabangsa, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Bercakap kepada IRNA pada Rabu, jurucakap kerajaan Iran, Fatemeh Mohajerani mengutuk sekeras-kerasnya serangan musuh di beberapa bahagian negara itu, yang telah menyebabkan kematian lebih 30 orang.

“Presiden Pezeshkian menegaskan bahawa perkhidmatan kepada rakyat mesti diteruskan tanpa gangguan dan menyeru untuk menggerakkan sepenuhnya semua badan kerajaan untuk membantu kawasan yang terjejas,” katanya.

Terdahulu, jurucakap Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya, Kolonel Ebrahim Zolfaqar berkata Iran tidak akan sama sekali membenarkan AS campur tangan dalam pengurusan Selat Hormuz, memberi amaran kepada negara-negara serantau Teluk Parsi bahawa kerjasama dengan Washington menyamai perang melawan Iran.

“Tindakan melulu (adventurism) berulang Amerika dan tindakan jahat untuk campur tangan dalam pengurusan Selat Hormuz telah membahayakan keselamatan serantau, perdagangan antarabangsa dan laluan kapal tangki minyak dan kapal komersial," katanya.

“Malangnya, kerjasama beberapa negara serantau juga menyebabkan risiko perang merebak di seluruh rantau ini meningkat,” tambahnya.

Sementara itu, Anadolu Ajansi melaporkan AS melancarkan gelombang serangan baharu ke atas Iran pada Rabu, menurut Komando Pusat AS (CENTCOM).

“Pada 6 pagi ET hari ini (1000GMT Rabu), pasukan Komando Pusat AS mula melancarkan gelombang serangan terhadap Iran,” kata komander itu di platform media sosial X.

“Serangan itu direka untuk merendahkan lagi keupayaan ketenteraan yang digunakan tentera Iran untuk menyerang perkapalan komersial di Selat Hormuz,” tambahnya.

Ketegangan antara AS dan Iran meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini di Selat Hormuz, dengan kedua-dua pihak berbalas serangan walaupun memorandum persefahaman diantarai Pakistan bertujuan menamatkan konflik dan mencapai perjanjian damai telah ditandatangani.

-- BERNAMA-IRNA

Must Watch Video

Advertisement