KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin mencipta kejutan apabila melangkah ke suku akhir Terbuka Jepun 2026 selepas menewaskan pilihan keenam kejohanan dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, di Gimnasium Metropolitan Tokyo, hari ini.
Pasangan yang menghuni ranking ke-118 dunia itu mempamerkan aksi bertenaga untuk menyingkirkan gandingan nombor enam dunia menerusi kemenangan straight set 23-21, 24-22, dalam masa 53 minit.
Jimmy-Su Yin dijadual berdepan pemenang antara pasangan Korea Selatan, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong atau gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje di suku akhir.
Sementara itu, cabaran perseorangan lelaki negara berakhir apabila Leong Jun Hao tersingkir di pusingan kedua selepas tewas kepada pilihan kelima dari Perancis, Christo Popov, 21-16, 11-21, 17-21.
Turut terkandas di pusingan kedua ialah beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, yang tewas kepada pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 14-21, 7-21.
-- BERNAMA