Skip to main content

Dunia

Lelaki bunuh wanita ketika penstriman langsung di Tokyo dipenjara 16 tahun

TB_AIRI SATO_IG
Mahkamah Daerah Tokyo mendapati Kenichi Takano bersalah kerana membunuh Airi Sato (gambar) yang berusia 22 tahun di daerah Takadanobaba di Shinjuku, Tokyo. - Instagram

TOKYO: TOKYO, 15 Julai (Bernama-Kyodo) -- Sebuah mahkamah di Jepun pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun kepada seorang lelaki berusia 44 tahun kerana membunuh seorang wanita dengan menikam dan menetaknya sekurang-kurangnya 55 kali ketika mangsa sedang melakukan penstriman langsung di sebatang jalan di Tokyo pada Mac tahun lepas, lapor Kyodo News.

Mahkamah Daerah Tokyo mendapati Kenichi Takano bersalah kerana membunuh Airi Sato yang berusia 22 tahun di daerah Takadanobaba di Shinjuku, Tokyo.

Pendakwa raya memohon hukuman penjara 20 tahun manakala pihak pembelaan berhujah untuk hukuman sembilan tahun.

Hakim Shunichi Ido berkata Takano telah merendahkan lagi maruah Sato dengan mengangkat telefonnya, yang masih disiarkan secara langsung, mendekatkan kamera ke mukanya dan berkata, "Adakah dia sudah mati?"

Tetapi Ido berkata mahkamah mengambil kira bahawa tindakan Takano didorong oleh kepercayaannya bahawa Sato telah secara curang mendorongnya untuk meminjamkan sejumlah besar wang kepada wanita itu.

Takano mengetahui mengenai Sato menerusi aplikasi penstriman langsung pada Disember 2021 dan mula meminjamkan wang pada tahun berikutnya.

Lebih kurang dalam dua bulan, dia meminjamkannya sekitar 2.55 juta yen (US$16,000), termasuk wang yang diperolehnya dengan membuat pinjaman selepas Sato meminta bantuan kewangan. Sato membayar balik hanya 30,000 yen.

Takano mengambil tindakan undang-undang terhadap Sato dan mendapatkan perintah mahkamah yang memerlukan dia membayar balik, tetapi dia berkata dia tidak mempunyai wang untuk berbuat demikian.

Sementara itu, pihak pembelaan berhujah bahawa Takano hanya berniat untuk mencacatkan wajah mangsa, bukan membunuhnya, dengan alasan dia menghidap spektrum autisme yang menjejaskan kawalan impuls.

Ido mengakui bahawa keadaan Takano mungkin secara tidak langsung menyumbang kepada tindakannya tetapi menolak hujah itu, dengan berkata, "tindakan itu mungkin tidak terkawal walaupun tanpa kondisi sedemikian."

-- BERNAMA-KYODO

 

Must Watch Video

Advertisement