Skip to main content

Malaysia

KPDN Pulau Pinang rampas jersi tiruan bernilai RM360,000

NIBONG TEBAL, 15 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar kegiatan penjualan jersi tiruan Piala Dunia FIFA 2026 dengan merampas 7,200 helai jersi pelbagai jenama terkenal bernilai RM360,000 dalam serbuan di dua premis di Jalan Inderawasih Indah, di sini hari ini.
S. Jegan berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berumur 29 tahun dipercayai pemilik premis yang menjalankan kegiatan jualan jersi terbabit secara dalam talian. - Gambar Bernama

NIBONG TEBAL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar kegiatan penjualan jersi tiruan Piala Dunia FIFA 2026 dengan merampas  7,200 helai jersi pelbagai jenama terkenal bernilai RM360,000 dalam serbuan di dua premis di Jalan Inderawasih Indah, di sini hari ini.

Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata dalam serbuan serentak di premis perniagaan dan sebuah rumah pada 11 pagi tadi, pihaknya menahan seorang lelaki berumur 29 tahun dipercayai pemilik premis yang menjalankan kegiatan jualan jersi terbabit secara dalam talian.

"Operasi itu dijalankan hasil risikan selama kira-kira tiga minggu bersama Cawangan Khas E5 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, susulan peningkatan permintaan terhadap jersi pasukan yang bertanding dalam Piala Dunia FIFA 2026 yang bermula pada bulan lepas.

"Operasi ini ialah tindakan proaktif KPDN yang menjangkakan permintaan terhadap jersi Piala Dunia akan meningkat dan kami menjalankan pembelian ujian menerusi platform e-dagang serta fokus kepada penjual dari Pulau Pinang sebelum berjaya mengesan lokasi sebenar operasi mereka," katanya kepada pemberita selepas serbuan di premis perniagaan itu, hari ini.

Beliau berkata lelaki itu yang menjalankan kegiatan tersebut secara sendirian menggunakan platform e-dagang termasuk sesi penjualan secara langsung menerusi laman sosial dengan beroperasi di rumahnya yang terletak kira-kira 1 kilometer dari premis perniagaan untuk memasarkan jersi tiruan itu.

Jegan berkata lelaki terbabit menjadikan premis perniagaan tersebut sebagai tempat menyimpan dan membungkus semua jersi itu sebelum menghantar kepada pembeli secara kurier dari stor yang berselindung di sebalik premis tertutup berkenaan.

Beliau berkata jersi tiruan itu dijual pada harga antara RM35 hingga RM50 sehelai bergantung pada gred dan kualiti dengan lelaki berkenaan menjalankan kegiatan itu sejak beberapa bulan lepas serta mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap hari.

KPDN, katanya, menyita semua jersi itu kerana menggunakan cap dagangan berdaftar secara tidak sah, selain beberapa dokumen perniagaan turut dirampas bagi membantu siasatan.

"Kami percaya lelaki itu mendapat bekalan semua jersi tersebut dari China dengan harga yang murah dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Akta Cap Dagangan 2019," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement