ALOR SETAR: Polis semalam menahan seorang lelaki yang tular di media sosial kerana menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi “wheelie” sambil membawa isteri dan anak perempuannya yang berumur empat tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai operator kilang itu ditahan di pekarangan Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada kira-kira 3.40 petang.
Beliau berkata seorang pegawai polis telah membuat laporan selepas mengesan video berdurasi 17 saat yang dimuat naik di media sosial memaparkan aksi suspek di Lebuhraya Darul Aman berhampiran Dataran Bandar di sini.
“Susulan laporan itu, lelaki berkenaan ditahan untuk siasatan. Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 28 Mac lepas ketika suspek dalam perjalanan keluar makan malam bersama keluarganya,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Syed Basri juga berkata lelaki itu direman sehari sebelum dijangka dibebaskan dengan jaminan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA