Skip to main content

Malaysia

Lelaki maut, isteri hamil cedera dalam nahas dua treler

Sumber: Sinar Harian
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan treler di Kilometer 1, Lebuhraya Persekutuan awal pagi Jumaat. - Gambar/ Sinar Harian

SHAH ALAM: Seorang pemandu treler maut, manakala isterinya yang hamil tujuh bulan cedera ringan selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan dua treler di Kilometer 1, Jalan Persekutuan, berhampiran Kampung Tebuk Marso di Sungai Besar, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.49 pagi sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar tiba di lokasi kira-kira 3 pagi.

Beliau berkata kemalangan itu melibatkan treler kontena dan treler yang membawa muatan besi seberat 36 tan.

“Penumpang sebuah daripada treler itu, seorang wanita berusia 26 tahun mengalami kecederaan ringan dan berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pihak bomba tiba. Mangsa dihantar ke hospital bagi tindakan susulan.

“Suami wanita itu yang berusia 21 tahun tersepit di tempat pemandu dan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan pada 4.15 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.   

Ashrul Riezal berkata mangsa yang meninggal dunia itu berasal dari Parit, Perak manakala isterinya dari Telok Panglima Garang, Kuala Langat.

Dalam pada itu, beliau berkata pemandu sebuah lagi treler yang berusia 20-an terselamat dalam kejadian terbabit.   

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement