JOHOR BAHRU: Sebanyak 13,425 majikan di Johor telah berdaftar di bawah ekosistem Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) setakat tahun lepas, sekali gus memberikan manfaat latihan secara langsung kepada 479,905 pekerja di negeri berkenaan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata komitmen tinggi sektor industri itu turut menyaksikan kutipan levi mencecah RM208.21 juta direkodkan, dengan RM183.96 juta telah disalurkan semula kepada majikan bagi tujuan pelaksanaan latihan pekerja.
Beliau berkata sebanyak RM191.5 juta bantuan kewangan juga telah disalurkan oleh agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu, yang berjaya melatih 232,072 rakyat di Johor bagi memperkukuh daya saing tenaga kerja tempatan.
“Namun bagi saya, kejayaan sebenar bukan jumlah wang yang dibelanjakan tetapi manfaat jangka panjang yang diterima oleh rakyat Johor. KESUMA melalui agensinya juga sentiasa komited membantu pekerja gig meningkatkan kemahiran dan memperkukuh masa depan kerjaya mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Siri Jelajah “Pocket Talk” HRD Corp - Dari Dasar ke Rakyat peringkat negeri Johor di Starhill Golf & Country Club, Kempas di sini semalam.
Ramanan berkata pengukuhan bakat tempatan itu sangat kritikal bagi menyokong pelbagai pelaburan strategik yang sedang berkembang pesat di negeri berkenaan, terutama dalam memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Siri Jelajah “Pocket Talk” itu adalah inisiatif turun padang KESUMA dan HRD Corp untuk memastikan segala maklumat, dana bantuan latihan serta peluang peningkatan kemahiran (upskilling) kerajaan dapat disampaikan terus kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
-- BERNAMA