Skip to main content

Dunia

Iran akan hantar delegasi ke Switzerland untuk tuntut AS laksanakan komitmen seperti dipersetujui

Ismail Baghaei, spokesperson for the Ministry of Foreign Affairs -- X @IRIMFA
ESMAEIL BAGHAEI: Di Switzerland, kami bersedia untuk mendesak pelaksanaan komitmen pihak di sebelah sana dan menentukan bagaimana mereka berhasrat untuk memenuhi kewajipan itu. - Foto X Kementerian Luar Iran

ISTANBUL: Satu delegasi Iran akan berlepas ke Switzerland bagi membuat susulan dan menuntut pelaksanaan komitmen oleh pihak di sebelah sana, menurut Kementerian Luar Iran pada Sabtu, lapor  Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita Iran, Fars.

Jurucakap Kementerian Luar Esmaeil Baghaei berkata: "Di Switzerland, kami bersedia untuk mendesak pelaksanaan komitmen pihak di sebelah sana dan menentukan bagaimana mereka berhasrat untuk memenuhi kewajipan itu.”

“Sekiranya sebahagian daripada komitmen pihak sebelah sana tidak dilaksanakan, keseluruhan persefahaman ini akan menghadapi kesukaran,” kata Baghaei sambil menambah bahawa Washington mesti mengambil langkah sewajarnya “secepat mungkin bagi mengelakkan perjanjian ini terjejas.”

“Kami tidak menandatangani komitmen ini untuk ia tidak dilaksanakan; pendekatan kami adalah komitmen dibalas dengan komitmen,” tegas beliau.

Pegawai Iran itu turut memberi amaran bahawa Tehran akan bertindak balas “dengan langkah-langkah yang perlu” sekiranya “pihak di sebelah sana enggan memenuhi komitmen mereka”.

Agensi berita ISNA yang memetik kenyataan beliau melaporkan bahawa delegasi Iran berkenaan akan berlepas “dalam tempoh beberapa jam lagi”.

Jurucakap itu berkata perjalanan berkenaan “bukan bermakna bermulanya rundingan fasa kedua; sebaliknya ia bertujuan menyusuli pelaksanaan komitmen yang telah dipersetujui.”

“Komitmen itu adalah sangat jelas, dan klausa pertama memorandum persefahaman itu merangkumi bahagian paling penting dalam komitmen bersama antara kedua-dua belah pihak – iaitu menamatkan perang di semua barisan hadapan, termasuk di Lubnan,” kata Baghaei.

Sementara itu, Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan melaporkan angka kematian akibat serangan Israel di selatan Lubnan sejak awal pagi Sabtu meningkat kepada sekurang-kurangnya 28 orang, di sebalik penguatkuasaan gencatan senjata dan perjanjian AS-Iran.

Kementerian Kesihatan negara itu memaklumkan jumlah korban akibat serangan udara Israel sejak Jumaat meningkat kepada 83 orang, manakala lebih 140 yang lain cedera.

Berdasarkan data pihak berkuasa Lubnan, serangan ketenteraan Israel di Lubnan sejak 2 Mac lepas telah mengorbankan sekurang-kurangnya 4,057 orang, mencederakan lebih 12,000 yang lain, selain menyebabkan lebih satu juta penduduk hilang tempat tinggal.

Serangan terbaharu itu berlaku selepas Saluran 12 Israel pada Jumaat memetik seorang pegawai yang enggan dikenali mengesahkan bahawa perjanjian gencatan senjata dengan Hizbullah telah berkuat kuasa pada 4 petang waktu tempatan (1300 GMT).

Seorang pegawai kanan AS turut mengesahkan pelaksanaan gencatan senjata berkenaan dalam satu kenyataan kepada Anadolu.

Pada Rabu malam, Washington dan Tehran menandatangani perjanjian 14 syarat secara elektronik bagi menamatkan perang, yang teks kandungannya telah diterbitkan oleh Presiden Iran Masoud Pezeshkian.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement