SEREMBAN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan peruntukan hampir RM7 bilion menerusi inisiatif 'Power Up 10K’ yang membantu lebih 213,000 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di seluruh negara sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata dana berkenaan disalurkan menerusi pelbagai program sokongan dan pembiayaan di bawah inisiatif tersebut yang menyasarkan penyaluran keseluruhan berjumlah RM15 bilion sepanjang tahun ini.
Beliau berkata kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan KUSKOP dalam memastikan sektor PMKS kekal berdaya saing dan mampu mendepani pelbagai cabaran ekonomi global semasa.
"Bagi Negeri Sembilan sahaja, menerusi program ‘Power Up 10K’ ini, kita telah berjaya menyalurkan sebanyak RM345 juta kepada lebih 6,600 orang usahawan tempatan.
“Ini menunjukkan bahawa dana dan sokongan kerajaan sampai secara efektif di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bersama Warga dan Agensi KUSKOP Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Sementara itu Sim berkata KUSKOP turut menetapkan hala tuju baharu bagi memastikan semua agensi di bawah kementerian tersebut bertindak sebagai barisan hadapan yang efisien dalam membantu peniaga.
Pendekatan itu, katanya, memberi penekanan kepada penambahan sumber perniagaan, peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, serta pengurangan kos pematuhan bagi meringankan beban usahawan.
"Jika kita tidak boleh mengawal kos luaran seperti pergerakan harga minyak dunia, sekurang-kurangnya kita pastikan kos pematuhan undang-undang dan dasar kerajaan tempatan dapat dikurangkan sebanyak mungkin," katanya.
Sim turut menggesa agensi di peringkat negeri supaya bersaing secara sihat dengan mempercepat proses agihan dana dan tidak hanya 'menunggu pelanggan' di pejabat.
“Jangan tunggu pelanggan datang cari kita. Kita harus rancakkan lagi roadshow (jelajah), rancakkan lagi promosi tak kiralah dari segi media sosial atau pun secara fizikal supaya usahawan tahu kita ada skim apa, program apa, kemudahan apa dan nak cari dekat mana,” katanya.
-- BERNAMA