KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah baik jadual perkhidmatan KTM Komuter Sektor Utara bermula Jumaat ini bagi menampung pertambahan jumlah penumpang dan meningkatkan keselesaan perjalanan khususnya pada waktu puncak.
KTMB menerusi kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu melibatkan penambahan enam perkhidmatan tren sehari iaitu dua bagi laluan Padang Besar-Butterworth-Padang Besar dan empat bagi laluan Ipoh-Butterworth-Ipoh.
“Ketika ini sebanyak 56 perkhidmatan ditawarkan, dengan tambahan enam perkhidmatan baharu menjadikan jumlah keseluruhan 62 perkhidmatan sehari.
“Bagi laluan Ipoh-Butterworth, masa menunggu pada waktu puncak pagi turut berjaya dikurangkan kepada 55 minit berbanding melebihi 120 minit sebelum ini,” menurut kenyataan itu.
KTMB turut melanjutkan waktu operasi tren akhir bagi memberi lebih banyak pilihan perjalanan kepada penumpang serta membolehkan mereka merancang perjalanan harian dengan lebih mudah, fleksibel dan selesa.
Kenyataan itu memaklumkan waktu operasi tren terakhir akan dilanjutkan bagi laluan Ipoh-Butterworth dengan tren terakhir berlepas pada 7.45 malam berbanding 6.35 petang ketika ini manakala tren terakhir bagi laluan Butterworth-Ipoh berlepas pada 8.10 malam berbanding 7.10 malam sebelum ini.
“Masa menunggu penumpang di laluan Padang Besar-Butterworth pada waktu puncak petang akan dikurangkan kepada 30 minit berbanding 60 minit sebelum ini.
“Penambahbaikan jadual ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 penumpang sehari atau 7.3 juta penumpang setahun khususnya melibatkan pengguna yang berulang-alik bagi tujuan pekerjaan, pendidikan dan urusan harian di sepanjang koridor perkhidmatan KTM Komuter Sektor Utara,” katanya.
KTMB memaklumkan inisiatif itu selaras dengan komitmennya dalam memperkasa sistem pengangkutan rel negara serta menyokong aspirasi kerajaan melalui agenda Road to Rail yang menggalakkan lebih ramai rakyat beralih daripada penggunaan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam sebagai pilihan mobiliti harian.
Jadual waktu baharu perkhidmatan itu boleh disemak melalui aplikasi KITS STYLE atau laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my, selain orang ramai boleh melayari media sosial rasmi syarikat itu atau menghubungi pusat panggilannya di talian 03-9779 1200 untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA