Skip to main content

Malaysia

KPKT pulihkan 1,576 projek perumahan sakit, terbengkalai sejak 2023

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming (empat, kanan) melakukan gimik upacara pecah tanah şerta Pelancaran Rasmi Projek KL360.Turut sama, Timbalan Pengerusi Kumpulan GD Holdings Datuk Wong Seng Tong (tiga, kiri). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kor Ming (empat, kanan) melakukan gimik upacara pecah tanah serta Pelancaran Rasmi Projek KL360. - Gambar/ Bernama

KUALA LUMPUR: Lebih 1,576 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai di seluruh negara berjaya dipulihkan oleh pasukan Petugas Khas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 2023 hingga Mei lepas. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata usaha menyelamatkan projek berkenaan melibatkan 188,525 unit kediaman dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan sebanyak RM148.21 bilion.

Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan KPKT dalam memperkukuh sektor perumahan negara melalui Pasukan Petugas Projek Perumahan Sakit dan Terbengkalai (TFST) yang ditubuhkan sejak 2023.

Kor Ming berkata bukti keberkesanan komitmen TFST dapat dilihat menerusi projek pembangunan mercu tanda M101 Skywheel yang sebelum ini terbengkalai akibat impak pandemik COVID-19 dan kekangan kewangan, namun kini berjaya diselamatkan.

“Kebangkitan semula projek ini mencerminkan usaha di peringkat nasional yang lebih meluas oleh pihak kerajaan yang diterajui oleh KPKT untuk menangani isu pembangunan perumahan terbengkalai dan melindungi kepentingan pembeli rumah," katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah KL360 di sini hari ini.

Mengenai M101 Skywheel, Kor Ming berkata projek itu yang terhenti sebelum ini menyebabkan 337 pembeli terjejas dengan nilai keseluruhan Perjanjian Jual Beli (SPA) melebihi RM306 juta.

Beliau berkata GD Properties kemudiannya tampil sebagai pemaju penyelamat bagi memulihkan projek tersebut yang kini dijenamakan semula sebagai KL360 @ Menara GD, setelah mengambil kira potensi pembangunan serta tanggungjawab terhadap pembeli terjejas.

Kor Ming berkata dengan sokongan KPKT serta kerjasama pelbagai pihak berkepentingan, satu skim pemulihan komprehensif berjaya dirangka dan mendapat kelulusan majoriti pembeli sebelum disahkan Mahkamah Tinggi pada 2024.

“Saya ingin menyeru agar lebih banyak syarikat pemaju dapat tampil memainkan peranan aktif serta berganding bahu dalam membantu memulihkan projek-projek yang berdepan cabaran seperti ini bagi memperkukuh agenda perumahan negara.

“Matlamat kita jelas, supaya setiap sen yang dibayar oleh pembeli rumah hanya akan digunakan untuk pembangunan projek yang telah dijanjikan, serta setiap rumah yang dibeli dapat disiapkan dan diserahkan kepada rakyat mengikut jadual,” katanya. 

KL360 @ Menara GD setinggi 61 tingkat itu merupakan projek pembangunan bercampur bernilai RM1.37 bilion, terletak di daerah pusat perniagaan (CBD) Kuala Lumpur dan bersebelahan Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Raja Uda. 

Projek yang tertangguh selepas dilancarkan pada 2017 itu diberi nafas baharu merangkumi 785 unit pangsapuri perkhidmatan, 221 suite pejabat dan 20 lot runcit, serta dilengkapi 40 kemudahan kesihatan, kecergasan dan gaya hidup sosial yang disusun rapi, dengan jangkaan siap sepenuhnya menjelang 2030.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement