KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) kini berada pada kedudukan kewangan yang jauh lebih kukuh berbanding prestasi 2018 hasil usaha pemulihan berterusan dan penstrukturan semula.
Menurut kenyataan TH pada Selasa, pengukuhan kedudukan itu dapat dilihat menerusi pengekalan kos haji selama tiga tahun berturut-turut mulai 2024 serta pengumuman agihan keuntungan tertinggi dalam tempoh lapan tahun pada 2025.
“Pelan penstrukturan semula yang dilaksanakan pada 2018 telah menjadi asas penting kepada transformasi dan pengukuhan prestasi TH sehingga ke hari ini,” jelas TH.
TH merekodkan peningkatan ketara kadar agihan keuntungan kepada 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025 berbanding 1.25 peratus pada tahun kewangan 2018 kepada lebih sembilan juta pendeposit.
Menurut TH tindakan pemulihan dan penstrukturan semula yang dijalankan pada 2018 adalah keputusan strategik untuk melindungi simpanan pendeposit dan memastikan kemampanan kewangan TH.
Ketika itu jurang antara aset dan liabiliti yang dikenal pasti pada 2017 terus meningkat sehingga mencecah kira-kira RM10 bilion yang berkemungkinan besar mengakibatkan TH tidak dapat memenuhi syarat mengikut Akta Tabung Haji.
TH menjelaskan tahun ini, pihaknya mengambil alih semula dua aset berdasarkan pertimbangan dan kesesuaian Alokasi Aset Strategik (SAA), antaranya tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang diperoleh semula pada nilai RM270 juta, mengikut nilai pasaran semasa, berbanding nilai premium RM400 juta pada 2018.
TH turut mengambil alih semula UJ Estates Holdings Sdn Bhd pada nilai RM695 juta setelah menunjukkan pemulihan hasil dan kestabilan aliran tunai.
TH memaklumkan pelan pemulihan berterusan sejak lapan tahun lepas juga telah memastikan kedudukan lembaran imbangan lebih kukuh dan berdaya tahan, sekali gus mengekalkan mandatnya dalam mengurus simpanan umat Islam serta konsisten menyampaikan perkhidmatan haji bertaraf dunia
-- BERNAMA