KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendapatkan bantuan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membantu siasatan berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat eFishery.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, permohonan Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (MACMA) akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan keterangan saksi yang berada di luar negara.
“Ia bertujuan untuk mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi yang berada di luar negara tersebut dan SPRM mohon kerjasama daripada semua pihak untuk memberikan ruang dan juga masa.
“Agar siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh,” katanya menerusi satu hantaran video di akaun TikTok rasmi SPRM hari ini.
Beliau turut memberi jaminan siasatan akan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa meninggalkan sebarang aspek.
Menurut Abdul Halim, rakaman keterangan saksi bermula pada 21 Julai lalu dengan seramai 10 individu selesai dirakam percakapan setakat semalam bagi membantu siasatan.
Mereka terdiri daripada pegawai kanan KWAP dan Kementerian Kewangan (MOF) yang dipercayai terlibat dalam proses membuat keputusan berkaitan pelaburan berkenaan.
Dalam masa sama, SPRM akan menjalankan jejak aliran kewangan menerusi analisis Laporan Transaksi Tunai (Cash Transaction Report - CTR) dan Laporan Transaksi Mencurigakan (Suspicious Transaction Report - STR) bagi mengesan sebarang transaksi yang mempunyai kaitan dengan pelaburan itu.
"Pihak kami menjangkakan lebih ramai lagi saksi yang akan dipanggil yang mana saksi-saksi tersebut.
“Termasuklah ahli-ahli yang menganggotai Jawatankuasa Kewangan dan juga kesemua ahli panel pelaburan KWAP yang terlibat di dalam proses pelaburan tersebut,” katanya.
Abdul Halim turut menegaskan bahawa siasatan memberi tumpuan kepada penelitian pelbagai dokumen penting termasuk kertas cadangan awal dan akhir pelaburan, laporan lawatan tapak serta minit mesyuarat.
Turut diteliti ialah laporan penelitian wajar (due diligence), tatacara pelaburan serta dokumen kewangan KWAP bagi memastikan keseluruhan proses dinilai secara menyeluruh.
Pada 15 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata KWAP menjadi mangsa penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan KWAP menyalurkan kira-kira RM200 juta kepada syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery.