PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka mengumumkan hasil rundingan yang dicapai dengan Thailand berhubung isu perdagangan melibatkan produk perikanan dan pertanian, termasuk sekatan eksport udang Malaysia ke Thailand yang berlarutan sejak 2017, akhir bulan ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, rundingan kini berada di peringkat akhir selepas pegawai daripada Kementerian Pertanian Thailand mengadakan lawatan ke Malaysia.
"Pihak kita juga akan membuat pemeriksaan (di sana) dan sekarang rundingan ini di peringkat akhir. Ini penyelesaian (yang dicapai dalam) masa yang paling singkat," katanya kepada media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Global Veterinar dan Industri (GAVIS) 2026, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, hasil rundingan itu dijangka memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Khamis lepas, Mohamad dalam kenyataan yang dikeluarkan susulan Mesyuarat Majlis Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2026, berkata, kerajaan sedang berusaha mencari langkah bagi menyelesaikan sekatan eksport udang Malaysia ke Thailand yang berlarutan sejak 2017, serta permohonan akses pasaran bagi produk ternakan negara ke Thailand yang tertangguh sejak 2024.
Beliau berkata, mesyuarat itu turut membincangkan mengenai sekatan import udang Thailand ke Malaysia yang berkuat kuasa mulai 1 Jun lepas serta pemeriksaan ketat terhadap eksport ikan siakap Malaysia ke negara berkenaan.
Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya berkata, GAVIS 2026 menghimpunkan sebanyak 108 peserta, termasuk 51 pakar antarabangsa dari China, Australia, United Kingdom, Indonesia dan Vietnam.
Beliau berkata, sidang kemuncak berkenaan menjadi platform penting untuk bertukar pengetahuan, memupuk inovasi serta memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran bersama.
-- BERNAMA