PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini melancarkan Pelan Strategik Kementerian Komunikasi (PSKK) 2026-2030, yang akan menjadi panduan kepada pelaksanaan dasar, strategi dan program kementerian selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta agenda Malaysia MADANI.
Fahmi berkata pelan strategik itu menggariskan pelbagai objektif dan program yang akan menjadi keutamaan kementerian serta semua agensi di bawahnya.
"Ringkasnya, ada tiga perkara penting iaitu Internet lebih baik; kandungan lebih kreatif dan informasi lebih tepat. Program-program di bawah kementerian akan mula dan sedang dilaksanakan berlandaskan pelan strategik ini.
“Saya percaya isu-isu yang banyak diterima oleh pihak Kementerian Komunikasi dan juga agensi-agensi serta jabatan akan diberikan fokus melalui pelan strategik ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Dokumen PSKK 2026–2030 menggariskan visi 'Malaysia yang Terhubung, Berinformasi dan Kreatif' yang direalisasikan melalui tiga misi, empat teras strategik dan 94 program strategik.
Tiga misi berkenaan ialah memperkasa ketersambungan, perkhidmatan dan kawal selia komunikasi negara; membudayakan penyebaran maklumat sahih dan terangkum; serta melonjak pembangunan ekosistem industri kreatif tempatan yang mampan dan berdaya saing.
Bagi mencapai misi tersebut, empat teras strategik dikenal pasti iaitu pemerkasaan ekosistem komunikasi negara ke arah ketersambungan yang terangkum, berkualiti dan selamat; pemerkasaan industri filem dan muzik berdaya saing; transformasi penyampaian maklumat bersepadu; dan reformasi penyampaian perkhidmatan yang responsif kepada dasar kerajaan dan berorientasikan pelanggan.
-- BERNAMA