Skip to main content

Malaysia

Kematian kanak-kanak autistik jatuh pangsapuri tidak libat unsur jenayah - Polis

Seorang kanak-kanak perempuan autisme ditemukan maut di tingkat enam sebuah pangsapuri di Ladang Tok Pelam pada Sabtu. SINAR HARIAN
Kanak-kanak perempuan itu dijumpai terbaring di kawasan parkir tingkat enam pangsapuri berkenaan, dipercayai terjatuh dari tingkap tingkat 13. - Gambar/ Sinar Harian

KUALA TERENGGANU: Kematian kanak-kanak perempuan autistik berusia tujuh tahun yang dipercayai terjatuh dari tingkat 13, Pangsapuri Ladang Tok Pelam, dekat sini, hari ini tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata hasil siasatan dan laporan bedah siasat yang dijalankan pada 2.30 petang tadi mendapati kecederaan parah akibat hentakan kuat selepas jatuh dari tempat tinggi dikenal pasti sebagai punca kematian Nur Muazzam Aisya Mubi.

Beliau berkata polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 7.50 pagi memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan dijumpai terbaring di kawasan parkir tingkat enam pangsapuri itu dipercayai terjatuh dari tingkap tingkat 13.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di tempat kejadian. Hasil soal siasat dan laporan bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah berkait kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata siasatan mendapati keluarga mangsa telah menyewa inap desa di pangsapuri itu untuk menghadiri seminar keusahawanan di Yayasan Pembangunan Usahawan di sini hari ini.

Beliau berkata ibu mangsa hanya menyedari ketiadaan anaknya selepas dimaklumkan oleh penghuni lain pangsapuri itu kira-kira 7 pagi tadi.

"Ketika bangun pada 6 pagi, ibu mangsa mendapati anaknya masih tidur. Dia meninggalkan mangsa bersendirian di dalam bilik dan keluar ke ruang tamu untuk mengemas pakaian serta bersiap-siap untuk keluar.

"Bagaimanapun tiba-tiba seorang lelaki datang mengetuk pintu rumah dan memaklumkan ada kanak-kanak perempuan terjatuh di tingkat enam pangsapuri berkenaan," katanya.

Azli turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebar gambar mangsa bagi menjaga sensitiviti keluarga.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement