Skip to main content

Malaysia

Johor batal lesen Network School, arah operasi dihentikan

Network School, Forest City Johor -- Facebook
Network School di Forest City diarahkan tutup berkuat kuasa 22 Julai ini.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Johor membatalkan lesen perniagaan NS0 Malaysia Sdn Bhd atau Network School di Forest City serta mengarahkan semua operasinya dihentikan berkuat kuasa 22 Julai ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Penuh Khas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) berdasarkan proses dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurut beliau, keputusan berkenaan dibuat selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan, serta representasi yang dikemukakan oleh pihak syarikat.

“Tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil selepas aduan serta maklumat disahkan, pemeriksaan dijalankan, ketidakpatuhan dikenal pasti dan proses undang-undang disempurnakan.

“Tempoh sesuatu premis beroperasi tidak bermakna semua aktivitinya sentiasa mematuhi syarat lesen.

"Apabila ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan mesti diambil tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh penyelarasan antara agensi bagi memastikan sebarang bentuk ketidakpatuhan syarikat asing dapat dikesan dan ditangani dengan segera.

Pada masa sama, beliau menegaskan Johor kekal mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memberi manfaat kepada ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan pembangunan setempat.

Bagaimanapun, katanya, tiada mana-mana pelabur, syarikat atau organisasi boleh diletakkan mengatasi kedaulatan undang-undang negara.

“Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau perkara yang boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan berkaitan meneruskan siasatan dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti, pelanggaran syarat kemasukan atau apa-apa kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

Selain itu, kerajaan negeri turut menggesa Kementerian Digital dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengambil tindakan sewajarnya terhadap status Malaysia Digital atau sebarang pengiktirafan yang diberikan kepada organisasi berkenaan sekiranya didapati berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat yang ditetapkan.

"Semua agensi berkaitan diminta memperketat proses due diligence (usaha wajar), termasuk semakan latar belakang, pemilikan, sumber pembiayaan, bentuk operasi serta naratif yang dibawa oleh mana-mana syarikat atau organisasi.

"Penyelarasan antara agensi juga perlu diperkukuh supaya setiap pelaburan atau inisiatif antarabangsa diteliti secara menyeluruh dari aspek pelesenan, imigresen, keselamatan, penggunaan premis dan pematuhan undang-undang," katanya.
 

Must Watch Video

Advertisement