ALOR SETAR: Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan terus diperkasakan sebagai barisan kepimpinan akar umbi yang menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial, ekonomi dan modal insan di semua penempatan Desa KEDA.
Pengerusi KEDA, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelantikan 840 Jawatankuasa 4P membawa amanah besar untuk memimpin masyarakat secara sukarela, memperkukuh perpaduan komuniti serta membantu KEDA merancang dan melaksanakan pelbagai program pembangunan luar bandar.
Beliau berkata, usaha memperkasakan kepimpinan komuniti itu diperkukuh antaranya dengan penganjuran siri seminar sebagai platform meningkatkan kompetensi kepimpinan, memperkukuh jaringan kerjasama serta memperjelas peranan dan tanggungjawab setiap jawatankuasa.
"Jawatankuasa 4P merupakan rakan strategik KEDA di peringkat komuniti yang memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan desa dapat dilaksanakan secara tersusun, telus dan berkesan demi kesejahteraan lebih 30,000 penduduk di 56 Desa KEDA," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Pemerkasaan Kepimpinan Jawatankuasa 4P KEDA dan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Sesi 2026/2028 di sini, semalam.
Pada majlis itu, Mahdzir turut mengumumkan penganjuran Anugerah Desa KEDA Mampan (ADKM) yang akan berlangsung bermula Ogos hingga Oktober ini sebagai inisiatif baharu bagi menggalakkan budaya kepimpinan cemerlang, semangat permuafakatan dan penglibatan aktif masyarakat dalam membangunkan kampung masing-masing.
Beliau berkata ADKM 2026 akan disertai sembilan Desa KEDA iaitu Desa KEDA Wang Tok Rendong, Desa KEDA Pong Selatan, Desa KEDA Bendang Perang, Desa KEDA Telaga Batu, Desa KEDA Ulu Legong, Desa KEDA Dingin, Desa KEDA Che Bema, Desa KEDA Wang Tepus dan Desa KEDA Leret.
Katanya, pertandingan itu akan menilai aspek meliputi kepimpinan dan pentadbiran, ekonomi dan keusahawanan, pendidikan dan latihan, pemerkasaan peranan belia, kemudahan asas serta infrastruktur, inovasi, teknologi maklumat dan media sosial, patriotisme, kemasyarakatan dan kerohanian serta kebersihan, kesihatan dan keceriaan.
"Contohnya bab kebersihan… sesiapa yang ada kereta, motor lama tersadai depan rumah sampai naik rumput tu buanglah, bersihkan dan tanam pokok bunga, baru cantik pemandangan," katanya.
Selain hadiah wang tunai keseluruhan RM13,700, beliau berkata, tiga pemenang utama akan turut dipertimbangkan menerima projek pembangunan ekonomi, infrastruktur, pertanian dan keusahawanan bernilai keseluruhan RM100,000 pada tahun berikutnya, tertakluk kepada kelayakan.
"Inisiatif itu diharap dapat melahirkan komuniti desa yang lebih berdaya saing, mampan dan progresif, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI."
-- BERNAMA