Skip to main content

Malaysia

Integriti, perpaduan sosial asas sebenar keselamatan negara - Sultan Nazrin

IPOH, 21 Julai -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan titah pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) ke-8 bertemakan “Setiap insan dihargai: Kemuliaan dan Perpaduan dalam Islam” (Everyone Matters: Pride and Unity in Islam) di sini, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sultan Nazrin mengingatkan bahawa Malaysia dan dunia Islam perlu sentiasa berwaspada terhadap eksploitasi sentimen agama bagi kepentingan politik sempit yang hanya membawa kepada perpecahan dan pengasingan. - Gambar Bernama

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menegaskan, integriti dan perpaduan sosial merupakan asas paling kukuh kepada keselamatan negara, terutama ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik, ancaman siber dan penyalahgunaan maklumat sebagai senjata.

Baginda bertitah, keselamatan negara tidak boleh hanya diukur melalui keupayaan mempertahankan sempadan atau menangani ancaman luar, sebaliknya perlu disokong oleh integriti dalam pentadbiran, kejujuran serta keadilan dalam masyarakat.

"Sesebuah negara yang selamat daripada ancaman luar tetapi dibelenggu rasuah dan ketidakadilan belum mencapai keselamatan yang sebenar, sebaliknya hanya menangguhkan akibat yang bakal dihadapi," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) ke-8 bertemakan “Everyone Matters: Pride and Unity in Islam, di sini, pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Sultan Nazrin bertitah, pertahanan sempadan, perlindungan institusi negara dan keselamatan rakyat daripada ancaman ekstremisme, jenayah terancang serta serangan siber kekal sebagai tanggungjawab utama sesebuah kerajaan.

Baginda turut mengingatkan bahawa Malaysia dan dunia Islam perlu sentiasa berwaspada terhadap eksploitasi sentimen agama bagi kepentingan politik sempit yang hanya membawa kepada perpecahan dan pengasingan.

Menurut baginda, integriti negara yang sebenar hanya dapat diperkukuhkan apabila setiap warganegara tanpa mengira kaum atau agama merasakan mereka mempunyai hak, peluang dan kepentingan yang sama dalam menentukan masa depan negara.

"Apabila rasa memiliki terhadap negara itu tiada, sehebat mana sekali pun jentera keselamatan tidak akan mampu menggantikannya," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin mengingatkan ketelusan dalam pengurusan sumber awam amat penting bagi memberikan keyakinan kepada rakyat, bahawa sumbangan mereka digunakan untuk kepentingan bersama.

"Tadbir urus yang baik bermakna pelaksanaan kedaulatan undang-undang secara adil supaya tiada sesiapa, walau sebesar mana pun kuasanya, berada di atas pertanggungjawaban, dan tiada sesiapa, walaupun daripada golongan paling sederhana, dinafikan perlindungan undang-undang," titah baginda.

Sultan Nazrin turut menegaskan, budaya politik yang sihat memerlukan perbezaan pandangan dikendalikan secara berhemah, manakala pihak pembangkang perlu dilihat sebagai semak dan imbang yang sah dalam sistem demokrasi, bukannya sebagai musuh.

Titah baginda lagi, kestabilan politik tidak seharusnya ditafsirkan sebagai ketiadaan perdebatan, sebaliknya sebagai keupayaan sesebuah negara mengurus perbezaan melalui institusi yang sah.

"Kebanyakan negara yang paling stabil di dunia juga merupakan antara negara yang paling banyak berdebat, kerana perbezaan mereka disalurkan melalui institusi yang sah, bukannya melalui jalanan atau kekerasan," titah baginda.

Mengenai pendidikan, Sultan Nazrin menegaskan, ilmu merupakan asas kepada kemajuan tamadun Islam dan pendidikan kekal sebagai instrumen paling berkesan untuk meningkatkan mobiliti sosial serta memperkukuh perpaduan negara.

Dalam aspek kesihatan awam pula, baginda bertitah, kebersihan dan sanitasi merupakan sebahagian daripada tuntutan agama Islam serta menjadi asas kepada kesejahteraan masyarakat.

 

 

Must Watch Video

Advertisement