Skip to main content

Malaysia

Hujan lebat, faktor setempat punca banjir kilat di Petaling Jaya - Exco Selangor

[TB]_ISU BANJIR KILAT MEDAN SELERA 223, PETALING JAYA_FB Izham Hashim
Izham berkata berdasarkan penilaian awal, faktor setempat turut dikenal pasti menjadi antara penyumbang kepada kejadian berkenaan walaupun pelbagai inisiatif tebatan banjir termasuk pembinaan Terowong FAS telah dilaksanakan. - Foto fail/Facebook

PETALING JAYA: Kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Petaling Jaya pada Sabtu dipercayai berpunca daripada taburan hujan yang sangat lebat dalam tempoh singkat sehingga melebihi kapasiti sistem saliran sedia ada di beberapa lokasi.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim berkata berdasarkan penilaian awal, faktor setempat turut dikenal pasti menjadi antara penyumbang kepada kejadian berkenaan walaupun pelbagai inisiatif tebatan banjir termasuk pembinaan Terowong FAS telah dilaksanakan.

“Selain hujan lebat luar biasa dalam tempoh singkat, terdapat juga faktor setempat seperti penyempitan saluran, halangan aliran air serta peningkatan kawasan berturap yang menyebabkan kadar larian air permukaan menjadi lebih tinggi,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.

Menurut beliau, kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan agensi teknikal berkaitan sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca khusus di setiap lokasi yang terjejas.

“Hasil siasatan ini akan membolehkan langkah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kejadian berulang pada masa hadapan,” katanya.

Izham berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh sistem amaran awal banjir bagi memastikan penduduk menerima maklumat lebih awal dan dapat membuat persediaan sewajarnya.

Beliau berkata kerajaan negeri komited menambah baik mekanisme pemantauan serta penyampaian maklumat kepada orang ramai, selain telah merangka penyelesaian bersama melibatkan MBPJ, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pemaju kawasan terlibat.

“Susulan kejadian banjir kilat baru-baru ini, kerajaan negeri telah mengarahkan tindakan segera secara bersepadu melibatkan MBPJ bersama semua agensi dan jabatan berkaitan bagi mengenal pasti punca, melaksanakan langkah mitigasi segera serta menambah baik mekanisme pemantauan dan penyampaian amaran kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius kejadian tersebut dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan langkah mitigasi yang berkesan dapat dilaksanakan demi keselamatan serta kesejahteraan penduduk.

Sementara itu, Izham berkata beliau turut mengadakan lawatan ke kawasan terbabit pada 11 Mei lalu bagi meninjau keadaan sistem perparitan dan saliran susulan aduan berkaitan banjir kilat daripada penduduk serta peniaga.

Menurut beliau, lawatan itu membolehkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan menilai keberkesanan infrastruktur sedia ada serta mengenal pasti aspek yang memerlukan penambahbaikan bagi mengurangkan risiko kejadian banjir berulang.

 

Must Watch Video

Advertisement