Skip to main content

Malaysia

Hubungan Malaysia-Jepun semakin penting dalam dunia tidak menentu - PM Anwar

TOKYO, 10 Jun -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan rakan sejawatnya dari Jepun Sanae Takaichi pada sambutan rasmi lawatan beliau di Pejabat Perdana Menteri hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA   TOKYO, June 10 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim shakes hands with his Japanese counterpart Sanae Takaichi during an official welcoming ceremony at the Prime Minister's Office today.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Anwar bersalaman dengan rakan sejawatnya dari Jepun, Takaichi Sanae pada sambutan rasmi lawatan beliau di pejabat Perdana Menteri Jepun di Tokyo, pada Rabu. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Hubungan erat Malaysia dan Jepun semakin penting dalam suasana dunia yang semakin mencabar dan tidak menentu, dengan kedua-dua negara berkongsi kepentingan memperkukuh keterjaminan tenaga, daya tahan ekonomi, pembangunan teknologi serta kestabilan serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan rasmi pertama beliau ke Negara Matahari Terbit itu selama tiga hari bermula Isnin lepas menjadi detik penting dalam usaha memperkukuh hubungan istimewa antara kedua-dua pihak, yang terjalin sejak hubungan diplomatik dimulakan pada 1957.

Beliau berkata, sejak itu, hubungan Malaysia dan Jepun terus berkembang sebagai sahabat rapat dan rakan strategik yang saling dipercayai.

“Saya kemudiannya mengetuai delegasi Malaysia dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Takaichi Sanae dan anggota pentadbiran Jepun di Kantei, sebagai acara kemuncak lawatan rasmi saya ke Jepun yang berakhir hari ini.

“Ketibaan saya di Kantei disambut Perdana Menteri Takaichi sebelum diberikan kawalan kehormatan, diiringi lagu kebangsaan Malaysia dan Jepun,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata lawatan itu diyakini akan terus memperkukuh ikatan persahabatan selain membuka ruang kerjasama baharu yang lebih luas ke arah kemakmuran bersama.

Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Jepun adalah atas undangan kerajaan negara berkenaan, dan beliau bersama-sama delegasi berlepas pulang ke Malaysia petang Rabu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement