Skip to main content

Dunia

UNICEF gesa kebertanggungjawaban, kecam pembunuhan kanak-kanak Palestin

Father and brother of Sam Abu Haykal, a 7-month-old Palestinian child who was killed by Israeli soldiers, carry his body during his funeral in Hebron in the Israeli-occupied West Bank, June 6, 2026. REUTERS/Mussa Qawasma
Bapa dan abang kepada Sam Abu Haykal, seorang bayi Palestin berusia tujuh bulan yang terbunuh akibat tembakan tentera Israel, mengusung jenazahnya semasa pengebumian di Hebron di Tebing Barat yang diduduki Israel. - Foto REUTERS

AMMAN: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menggesa tindakan tegas dan akauntabiliti terhadap pembunuhan kanak-kanak Palestin susulan beberapa insiden serangan terbaru di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Pengarah Serantau UNICEF bagi Asia Barat dan Afrika Utara, Edouard Beigbeder, menyeru pihak berkuasa Israel untuk “mengambil tindakan segera dan tegas bagi melindungi kanak-kanak Palestin”, selain memastikan setiap insiden kematian dan kecederaan disiasat secara telus.

Kenyataan itu dibuat susulan beberapa kejadian tragis, termasuk insiden tembakan berhampiran Hebron yang mengorbankan seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan, serta kematian lapan kanak-kanak dalam serangan di Gaza pada hujung minggu lalu.

Beigbeder menegaskan bahawa kematian kanak-kanak akibat keganasan tidak boleh diterima sebagai perkara biasa.

“Kita tidak boleh membiarkan perkara ini menjadi norma baharu, kehilangan nyawa kanak-kanak akibat keganasan harus mencetuskan kemarahan global dan perlu dikecam di semua peringkat,” katanya dalam satu kenyataan.

UNICEF turut menyuarakan kebimbangan terhadap situasi di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, yang menyaksikan peningkatan kes kematian dan kecederaan kanak-kanak, selain perpindahan paksa dan serangan ke atas sekolah, rumah serta infrastruktur asas.

Menurut agensi itu, keadaan tersebut menunjukkan pengabaian terang-terangan terhadap hak kanak-kanak, termasuk hak untuk hidup dan mendapat perlindungan di bawah undang-undang antarabangsa.

Selain itu, keganasan berterusan dan operasi ketenteraan turut menyebabkan kerosakan besar kepada kemudahan penting seperti sistem air, kesihatan dan pendidikan, sekali gus memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraan kanak-kanak.

Beigbeder menekankan keperluan mendesak untuk memastikan setiap insiden yang melibatkan kanak-kanak disiasat secara bebas, telus dan menyeluruh.

Beliau menggesa pihak berkuasa Israel memastikan wujudnya pertanggungjawaban terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam insiden yang menyebabkan kematian atau kecederaan kanak-kanak.

UNICEF juga menegaskan bahawa langkah tersebut penting untuk mencegah kejadian serupa daripada berulang serta memastikan keadilan kepada mangsa.

Dalam masa sama, kumpulan hak asasi manusia mendakwa wujud kegagalan sistematik dalam menyiasat insiden melibatkan anggota tentera Israel atau penduduk peneroka yang terlibat dalam serangan terhadap rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak.

Beberapa insiden maut turut dilaporkan dirakam secara video, namun didakwa tidak disusuli dengan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

UNICEF sebelum ini memberi amaran bahawa kanak-kanak di Gaza dan Tebing Barat terus menjadi mangsa utama konflik, dengan ramai terdedah kepada trauma berpanjangan, kehilangan ahli keluarga dan kemusnahan tempat tinggal.

Agensi itu menekankan bahawa perlindungan terhadap kanak-kanak mesti menjadi keutamaan dalam sebarang konflik, selaras dengan prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

UNICEF menyeru komuniti antarabangsa untuk meningkatkan tekanan terhadap semua pihak agar mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghentikan keganasan terhadap orang awam, khususnya kanak-kanak.

 

 

Must Watch Video

Advertisement