FLORIDA: Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan baharu ke atas “kemudahan utama” di Iran untuk malam kedua berturut-turut, dengan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth mempertahankan tindakan itu sebagai sebahagian daripada strategi rundingan bagi mencapai gencatan senjata kekal.
Hegseth berkata operasi tersebut dilaksanakan atas arahan Presiden Donald Trump dan diselaraskan oleh Komando Pusat AS (CENTCOM), yang bertanggungjawab terhadap operasi ketenteraan di Asia Barat.
Ketika bercakap kepada media di Tampa, Florida, Hegseth memberi bayangan bahawa serangan ketenteraan digunakan sebagai tekanan terhadap Iran dalam rundingan yang masih belum menemui titik persetujuan.
“Jika perlu berunding dengan bom, kami akan berunding dengan bom,” katanya, sekali gus mencerminkan pendekatan tegas Washington dalam menangani konflik tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelan serangan telah disemak bersama Komander CENTCOM, Laksamana Bradley Cooper, dengan jaminan bahawa serangan tersebut akan “kuat dan jelas”.
CENTCOM kemudian mengesahkan bahawa serangan tambahan dilancarkan sekitar jam 5.15 petang waktu Timur sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkan sebagai “pencerobohan berterusan” oleh Iran.
Media Iran pula melaporkan beberapa letupan di bandar termasuk Bandar Abbas, Qeshm, Gorgan dan Pulau Hengam, selain pengaktifan sistem pertahanan udara di wilayah Fars.
Serangan terbaharu ini menandakan hari kedua berturut-turut tindakan ketenteraan AS, sekali gus menjejaskan gencatan senjata rapuh yang dicapai pada April lalu.
Ketegangan meningkat selepas sebuah helikopter Apache milik tentera AS terhempas berhampiran Selat Hormuz, yang menurut Washington disebabkan oleh tindakan Iran.
Walaupun tiada anggota tentera AS terkorban, Presiden Trump menegaskan bahawa insiden itu memerlukan tindak balas ketenteraan segera.
Sejak itu, kedua-dua pihak terus berbalas serangan, dengan Iran dilaporkan melancarkan serangan ke atas sasaran berkaitan AS di beberapa negara di rantau tersebut.
Walaupun Hegseth menafikan bahawa AS berniat mencetuskan perang besar-besaran, tindakan menggunakan serangan sebagai alat rundingan telah menimbulkan kritikan serta kebimbangan dalam kalangan penganalisis dan aktivis hak asasi manusia.
Ancaman terhadap sasaran seperti infrastruktur tenaga dan kemudahan awam turut mencetuskan persoalan mengenai potensi pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Namun, Hegseth menolak kebimbangan tersebut dan mempertahankan niat tentera AS, sambil tidak menolak kemungkinan sasaran sensitif turut diserang.
Dalam masa sama, Iran memberi isyarat tidak akan tunduk kepada tekanan ketenteraan dan terus melancarkan tindak balas terhadap serangan AS.
Perbezaan ketara dalam rundingan, termasuk isu program nuklear Iran dan sekatan ekonomi, terus menghalang kemajuan ke arah perjanjian damai yang lebih kukuh.
Penganalisis berpendapat pendekatan “tekanan ketenteraan untuk rundingan” berisiko mencetuskan konflik berskala lebih besar di Asia Barat, selain menjejaskan kestabilan geopolitik dan ekonomi global.