Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: 11 peraturan baharu diperkenal, VAR lebih berkuasa dan hukuman lebih tegas

FILE - Referee Szymon Marciniak, of Poland, shows a yellow card to Argentina's goalkeeper Emiliano Martinez during the penalty shootout inthe World Cup final soccer match between Argentina and France at the Lusail Stadium in Lusail, Qatar, Sunday, Dec. 18, 2022. (AP Photo/Thanassis Stavrakis, File)
Semua perubahan yang diperkenalkan FIFA ini bertujuan memastikan permainan berlangsung dengan lebih lancar, mengurangkan aksi melengah-lengahkan masa serta meningkatkan ketepatan keputusan. - Gambar AP

PIALA Dunia 2026 bakal mencipta sejarah bukan sahaja dengan penyertaan 48 pasukan, malah turut menyaksikan pelaksanaan 11 perubahan undang-undang baharu yang diperkenalkan oleh FIFA.

Ketua Pengadil FIFA, Pierluigi Collina menjelaskan, perubahan tersebut bertujuan mempercepatkan tempo permainan, mengurangkan pembaziran masa serta meminimumkan kesilapan yang berpotensi mempengaruhi keputusan perlawanan.

Lebih menarik, kebanyakan peraturan baharu ini dijangka akan turut dilaksanakan dalam beberapa liga domestik utama seperti Premier League, English Football League (EFL) dan Scottish Premiership bermula musim hadapan.

1. Kiraan masa untuk sepakan gol dan lontaran ke dalam

Pemain yang sengaja melengah-lengahkan sepakan gol atau lontaran ke dalam kini berdepan hukuman lebih tegas.

Pengadil akan mengaktifkan kiraan lima saat secara visual, dan sekiranya pemain masih gagal memulakan semula permainan, sepakan gol boleh ditukar kepada sepakan penjuru untuk pihak lawan, manakala lontaran ke dalam boleh diberikan kepada pasukan lawan.

Langkah ini diperkenalkan sebagai pencegahan yang lebih efektif berbanding hanya melayangkan kad kuning.

2. Pertukaran pemain dihadkan kepada 10 saat

Pemain yang digantikan diwajibkan meninggalkan padang dalam tempoh 10 saat melalui laluan paling hampir.

Sekiranya gagal berbuat demikian tanpa alasan yang dibenarkan, pemain gantian tidak akan dibenarkan memasuki padang sehingga permainan dihentikan semula, sekali gus memaksa pasukan beraksi dengan 10 pemain buat sementara waktu.

3. Pemain yang dirawat perlu derada di luar padang selama seminit

Jika pegawai perubatan memasuki padang untuk memberikan rawatan, pemain terbabit perlu berada di luar padang selama satu minit sebelum dibenarkan kembali beraksi.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan dalam beberapa situasi seperti kecederaan penjaga gol, kecederaan serius termasuk gegaran otak, pelanggaran sesama rakan sepasukan, lawan menerima kad kuning atau kad merah, serta situasi penalti melibatkan pemain yang cedera sebagai pengambil sepakan.

4. Langkah menyekat 'tactical timeout' penjaga gol

FIFA turut memperkenalkan langkah bagi mengurangkan amalan 'tactical timeout', iaitu apabila penjaga gol berpura-pura mengalami kecederaan bagi memberi ruang kepada jurulatih menyampaikan arahan.

Sepanjang Piala Dunia 2026, pemain tidak lagi dibenarkan berkumpul di kawasan teknikal ketika penjaga gol sedang menerima rawatan.

5. VAR kini semak keputusan sepakan penjuru

VAR akan diberi kuasa untuk mengesahkan sama ada keputusan memberikan sepakan penjuru dibuat dengan tepat sebelum permainan disambung.

Namun begitu, semakan tidak akan dibuat terhadap keputusan sepakan gol yang sepatutnya menjadi sepakan penjuru.

6. VAR boleh semak kad kuning kedua

Sekiranya seseorang pemain dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua, VAR kini boleh membuat semakan jika terdapat kesilapan yang jelas dalam keputusan tersebut.

Walau bagaimanapun, VAR tidak akan campur tangan hanya kerana wujud perbezaan tafsiran terhadap sesuatu kesalahan.

7. VAR semak kekasaran sebelum bola berada dalam permainan

VAR juga diberi kuasa menyemak kekasaran yang dilakukan oleh pasukan menyerang sebelum bola dimainkan sekiranya insiden itu membawa kepada jaringan, penalti atau tindakan disiplin.

Jika didapati berlaku kesalahan, gol boleh dibatalkan dan permainan akan dimulakan semula dengan sepakan penjuru diambil semula.

8. Pembetulan kesilapan identiti pemain

Dalam situasi tertentu, VAR boleh membetulkan kesilapan apabila kad kuning atau kad merah diberikan kepada pemain yang salah, termasuk jika kesalahan sebenar dilakukan oleh pemain lawan.

9. Menutup mulut ketika konfrontasi boleh mengundang kad merah

Pengadil kini mempunyai kuasa untuk melayangkan kad merah kepada pemain yang sengaja menutup mulut ketika terlibat dalam pertelingkahan atau situasi konfrontasi.

Langkah ini diperkenalkan bagi menangani kemungkinan penggunaan kata-kata berunsur penghinaan atau diskriminasi yang cuba disembunyikan daripada kamera.

10. Keluar padang untuk membantah pengadil boleh dibuang padang

Pemain yang sengaja meninggalkan padang semata-mata untuk membantah keputusan pengadil juga boleh dikenakan kad merah.

Peraturan ini diperkenalkan susulan beberapa insiden kontroversi yang menjejaskan kelancaran perlawanan di pentas antarabangsa.

11. Matlamat utama: Kurangkan pembaziran masa, tingkatkan kualiti Ppermainan

Secara keseluruhannya, semua perubahan yang diperkenalkan FIFA ini bertujuan memastikan permainan berlangsung dengan lebih lancar, mengurangkan aksi melengah-lengahkan masa serta meningkatkan ketepatan keputusan melalui penggunaan VAR yang lebih menyeluruh.

Piala Dunia 2026 bakal menjadi pentas pertama pelaksanaan peraturan baharu ini, sebelum sebahagian daripadanya dijangka diperluaskan ke pelbagai liga domestik utama di seluruh dunia.

Must Watch Video

Advertisement