Skip to main content

Malaysia

Dadah dalam vape berpotensi beri tekanan besar kepada sistem kesihatan negara - Pakar

Sumber: Dr Rashidi Mohamed Pakri
Dr Rashidi berkata, antara cabaran utama yang dihadapi petugas kesihatan ketika ini ialah kekurangan kit pengesanan terkini untuk mengenal pasti dadah sintetik seperti kanabis sintetik, fentanyl dan etomidate. - Foto Dr Rashidi Mohamed Pakri

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes melibatkan penggunaan peranti vape sebagai medium pengambilan dadah dan bahan terlarang termasuk dadah sintetik seperti kanabis sintetik, fentanyl dan etomidate berpotensi memberi tekanan besar kepada hospital dan kemudahan kesihatan jika tidak dibendung dengan segera.

Pensyarah dan Pakar Perunding Perubatan Keluarga Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Rashidi Mohamed Pakri berkata, antara cabaran utama yang dihadapi petugas kesihatan ketika ini ialah kekurangan kit pengesanan terkini untuk mengenal pasti dadah sintetik seperti kanabis sintetik, fentanyl dan etomidate.

Menurut beliau, keadaan itu memaksa doktor membuat diagnosis berdasarkan penilaian klinikal sebelum keputusan ujian makmal toksikologi diperoleh.

"Apabila pesakit dibawa ke jabatan kecemasan, doktor perlu bergantung kepada kemahiran klinikal mereka kerana ujian untuk dihantar ke makmal toksikologi dan kimia mengambil masa. Sedangkan kesan keracunan boleh berlaku secara akut dan jika tidak dirawat segera, ia boleh menyebabkan kematian," katanya kepada Astro AWANI dalam Program AWANI Pagi, pada Khamis.

Selasa lalu, Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya memandang serius penggunaan vape serta evolusi pantas produk itu hingga semakin sukar dipantau, dikawal serta dirawat apabila berlaku keracunan dan penyalahgunaan.

Pengarahnya, Dr Nur Azzalia Kamaruzaman berkata Malaysia mengambil masa hampir sedekad bagi mewarta undang-undang khusus pengawalan vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok 2024 selepas produk berkenaan memasuki pasaran komersial tempatan.

Namun, dalam tempoh itu industri vape berkembang sangat pantas sehingga jauh mendahului mekanisme kawalan yang dibangunkan.

Sementara itu, Dr Rashidi berkata, meskipun negara mempunyai kerangka perundangan yang kukuh menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), peningkatan kes keracunan akibat kanabis sintetik, fentanyl dan etomidate atau dadah dalam vape boleh memberi kesan serius kepada sistem kesihatan negara.

Katanya, hospital memerlukan kit pengesanan yang lebih moden selain kapasiti rawatan rapi (ICU) yang mencukupi untuk menangani komplikasi keracunan dan kesan penggunaan dadah secara berterusan.

Beliau turut menjelaskan bahawa penyalahgunaan dadah melalui vape bukan sahaja meningkatkan risiko kemasukan ke hospital, malah boleh menyebabkan masalah kesihatan mental yang memerlukan rawatan di wad psikiatri.

"Saya bimbang apa yang kita lihat sekarang hanyalah puncak kepada masalah yang lebih besar kerana kes yang dilaporkan hanyalah sebahagian daripada keseluruhan situasi sebenar," katanya.

Mengulas aspek perundangan, Dr Rashidi berpandangan Akta 852 sudah menyediakan mekanisme kawalan yang baik termasuk terhadap penjualan produk secara dalam talian.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan agar elemen dasar Generational End Game (GEG) yang pernah diperkenalkan sebelum ini dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam akta berkenaan bagi memperkukuh usaha pencegahan.

Dalam masa sama, beliau memberi amaran bahawa kegagalan menangani isu tersebut dengan segera boleh meningkatkan beban kewangan dan operasi sistem kesihatan negara.

"Lebih banyak peruntukan akan diperlukan untuk rawatan dan pengurusan komplikasi. Jika tidak dibendung secepat mungkin, kita berdepan risiko sistem kesihatan menjadi terlalu terbeban," katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes rampasan dan tangkapan berkaitan dadah oleh pihak berkuasa serta menegaskan Malaysia tidak boleh dibiarkan menjadi hab penyalahgunaan dadah, khususnya melalui penggunaan vape.

 

 

Must Watch Video

Advertisement