Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Selat Hormuz tutup, harga minyak mentah naik lebih AS$2 setong

minyak, oil_AP
Harga minyak mentah dunia meningkat lebih AS$2 setong pada Khamis selepas Iran mengumumkan penutupan Selat Hormuz, laluan strategik tenaga global, susulan serangan tambahan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara itu. - Gambar hiasan

HARGA minyak mentah dunia meningkat lebih AS$2 setong pada Khamis selepas Iran mengumumkan penutupan Selat Hormuz, laluan strategik tenaga global, susulan serangan tambahan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara itu.

Minyak mentah Brent mencatatkan kenaikan AS$2.30 atau 2.47 peratus kepada AS$95.40 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat naik AS$2.60 atau 2.89 peratus kepada AS$92.63 setong.

Terdahulu, harga minyak AS dilaporkan meningkat lebih AS$3 dalam sesi dagangan sama.

Perintah penutupan itu diumumkan oleh komando tertinggi tentera gabungan Iran yang memaklumkan bahawa Selat Hormuz kini ditutup sepenuhnya kepada kapal tangki minyak dan kapal komersial, lapor Reuters pada Khamis.

Memetik laporan itu lagi, Iran turut memberi amaran mana-mana kapal yang cuba melalui laluan tersebut berdepan risiko diserang.

Bagaimanapun, tentera AS menerusi kenyataan di platform X pada Rabu memaklumkan, kapal-kapal komersial masih terus berulang-alik keluar masuk selat berkenaan.

Tentera AS juga menafikan laporan media rasmi Iran yang mendakwa kapal perang negara itu diserang peluru berpandu dan dron berhampiran laluan strategik tersebut, dengan menegaskan bahawa tiada kapal perang AS terkena sebarang serangan.

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan tentera AS dilaporkan melancarkan serangan tambahan ke atas beberapa sasaran di Iran pada jam 5:15 petang waktu tempatan, sekali gus meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara.

Situasi itu mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya konflik berskala besar, selepas gencatan senjata yang dicapai pada awal April lalu.

Selat Hormuz, yang mengendalikan kira-kira satu perlima daripada penghantaran minyak dan gas global telah terjejas selama beberapa bulan akibat sekatan oleh Iran, sekali gus menyebabkan harga minyak kekal tinggi. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement