Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran isytihar Selat Hormuz ditutup, ketegangan ketenteraan memuncak

Strait of hormuz
Selat Hormuz merupakan salah satu laluan perkapalan paling penting di dunia, yang mengendalikan sebahagian besar penghantaran minyak global. - Foto fail/REUTERS

TEHRAN: Komando tertinggi tentera bersama Iran mengarahkan penutupan Selat Hormuz kepada semua kapal, termasuk kapal tangki minyak dan kapal komersial, dalam langkah drastik yang dijangka memberi kesan besar kepada perdagangan global.

Menurut agensi berita Mehr, mana-mana kapal yang cuba memasuki atau melalui laluan strategik itu akan dianggap sebagai sasaran dan berisiko diserang oleh angkatan tentera Iran.

Dalam perkembangan berkaitan, pertempuran sengit dilaporkan berlaku di sekitar Selat Hormuz melibatkan tentera Amerika Syarikat (AS) dan unit tentera laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Laporan menyebut berlaku pertukaran tembakan antara kedua-dua pihak, dengan tentera AS didakwa melancarkan serangan ke beberapa lokasi pesisir Iran.

Setakat ini, sekurang-kurangnya tujuh lokasi pantai telah menjadi sasaran, termasuk kawasan sekitar Bandar Abbas, Sirik, Pulau Qeshm dan Pulau Hengam.

Dalam masa sama, IRGC mendakwa sistem pertahanan udara negara itu berjaya memintas sebuah pesawat pejuang F-16 yang didakwa melanggar ruang udara Teluk.

Menurut kenyataan tersebut, peluru berpandu dilancarkan ke arah pesawat berkenaan, memaksa ia berundur daripada kawasan tersebut tanpa insiden lanjut dilaporkan.

Selat Hormuz merupakan salah satu laluan perkapalan paling penting di dunia, yang mengendalikan sebahagian besar penghantaran minyak global.

Penutupan laluan ini berpotensi memberi impak besar kepada bekalan tenaga dan ekonomi antarabangsa.

Penganalisis memberi amaran bahawa tindakan Iran ini boleh mencetuskan krisis lebih besar, termasuk lonjakan harga minyak dan gangguan rantaian bekalan global.

Perkembangan terkini ini dilihat sebagai peningkatan mendadak dalam konflik antara Iran dan AS, yang sebelum ini sudah tegang akibat siri serangan balas dan pertikaian ketenteraan.

Dengan pertempuran kini melibatkan laluan laut strategik dan ruang udara, risiko konflik berskala penuh di rantau Asia Barat semakin meningkat.

 

Must Watch Video

Advertisement