SAMUDERA HINDIA: Sekumpulan penyelidik antarabangsa menemui sebuah “kubur paus” gergasi di dasar laut Samudera Hindi yang dianggarkan berusia sehingga 5.3 juta tahun, sekali gus mencetuskan keterujaan dalam kalangan komuniti saintifik global.
Tapak tersebut ditemui di Zon Retakan Diamantina, kawasan dasar laut yang terdiri daripada rabung dan jurang dalam, kira-kira 1,200 kilometer panjang dan menjangkau kedalaman sehingga 7,000 meter.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature, kawasan ini merupakan “kubur paus” terbesar, terdalam dan tertua pernah direkodkan di dunia, mengandungi ratusan rangka paus serta tapak bangkai paus aktif.
Para penyelidik melaporkan lebih 480 lokasi fosil dan bangkai paus ditemui sepanjang ekspedisi, termasuk spesies paus yang telah pupus serta spesies baharu yang belum pernah didokumentasikan sebelum ini.
Penemuan ini dicapai hasil 32 kali penyelaman menggunakan kapal selam khas pada tahun 2023, yang mengumpul pelbagai sampel fosil dari dasar laut.
Antara penemuan paling penting ialah fosil tengkorak paus purba yang berusia sekitar 5.3 juta tahun, selain rangka lengkap spesies paus yang telah pupus.
Selain itu, bangkai paus minke Antartika sepanjang kira-kira lima meter merupakan antara penemuan terbesar dalam kategori bangkai moden di lokasi tersebut.
Pasukan penyelidik turut mengenal pasti satu spesies paus baharu yang dinamakan Pterocetus diamantinae, sempena lokasi penemuan itu.
Lebih menarik, kawasan “kubur paus” ini bukan sekadar himpunan fosil, malah menjadi habitat kepada pelbagai hidupan laut dalam yang unik.
Antara organisma yang ditemui termasuk ubur-ubur, cacing pemakan tulang, krustasea serta pelbagai spesies lain yang dipercayai sebahagiannya masih belum pernah direkodkan dalam sains.
Bangkai paus yang tenggelam ke dasar laut, dikenali sebagai “whale fall”, berfungsi sebagai sumber nutrien utama yang mampu menyokong kehidupan ekosistem selama puluhan hingga ratusan tahun.
Ketua penyelidik, Xiaotong Peng dari Akademi Sains China, menyifatkan penemuan berskala besar ini sebagai sesuatu yang “tidak dijangka sepenuhnya” kerana keluasan, kedalaman dan umur tapak tersebut jauh melebihi jangkaan awal.
Pakar lain turut menyifatkan penemuan ini sebagai pencapaian penting yang mampu mengubah pemahaman tentang evolusi paus serta ekosistem laut dalam.
Walaupun kawasan ini sukar diakses, para saintis percaya ia masih menyimpan banyak lagi penemuan penting, termasuk spesies baharu dan rekod evolusi hidupan laut yang belum diterokai.
Ekspedisi susulan dijangka dijalankan bagi meneroka lebih mendalam kawasan tersebut menggunakan teknologi kapal selam moden.