Skip to main content

Malaysia

Harga petrol, diesel tanpa subsidi turun 10 sen mulai 1 Julai - MOF

81640659451_PetrolStation.jpg
Kementerian Kewangan memaklumkan, harga runcit RON97 diturunkan kepada RM4.00 seliter berbanding RM4.10 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi turun kepada RM3.37 seliter daripada RM3.47. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi tempoh 1 Julai hingga 8 Julai 2026 turun sebanyak 10 sen seliter, selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) susulan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu lalu.  

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, harga runcit RON97 diturunkan kepada RM4.00 seliter berbanding RM4.10 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi turun kepada RM3.37 seliter daripada RM3.47.

Harga diesel tanpa subsidi pula ditetapkan pada RM3.97 seliter, berbanding RM4.07 seliter sebelum ini.  

"Pengumuman harga dibuat lebih awal bagi menyelaraskan tempoh harga baharu dengan pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang bermula 1 Julai 2026," kata MOF menerusi satu kenyataan, pada Selasa.

Tambah MOF, penurunan harga minggu ini didorong oleh keadaan pasaran petroleum antarabangsa yang semakin sederhana selepas mencatat paras tertinggi ketika kemuncak krisis Asia Barat.

“Perkembangan ini disokong oleh tanda-tanda pemulihan aliran bekalan global serta jangkaan bahawa rundingan berkaitan konflik tersebut dapat mengurangkan risiko gangguan bekalan minyak mentah,” menurut kenyataan itu lagi.  

Bagaimanapun, kementerian menegaskan pasaran petroleum global masih belum kembali stabil sepenuhnya.

“Risiko terhadap harga minyak mentah, kos penghantaran dan kestabilan bekalan masih kekal selagi konflik belum mencapai penyelesaian muktamad, manakala pemulihan rantaian bekalan juga mengambil masa,” jelasnya.  

Sehubungan itu, kerajaan menyeru rakyat supaya terus menggunakan bahan api secara berhemah.

“Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, rakyat diseru merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu.

"Ini supaya dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” katanya.  

Dalam masa sama, kerajaan mengekalkan harga bahan api bersubsidi iaitu RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, Diesel (BUDI Diesel) pada RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.  

MOF berkata, pelaksanaan BUDI Diesel mulai 1 Julai membolehkan rakyat Malaysia yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui pengesahan MyKad di stesen minyak di seluruh negara.

“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement