Skip to main content

Malaysia

Parlimen: Lebih sembilan juta penerima STR layak dapat manfaat mySalam tahun ini - Amir Hamzah

71744090467_tblogomySalam.jpg
Sejak awal pelaksanaan mySalam bermula 2019 sehingga 31 Dis 2025, seramai 1,880,069 orang telah menerima manfaat dengan jumlah tuntutan dibayar sebanyak RM1,423,893,319.

KUALA LUMPUR: Seramai 9,151,849 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) layak mendapat manfaat di bawah Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) berdasarkan kriteria kelayakan semasa tahun ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sejak awal pelaksanaan mySalam bermula 2019 sehingga 31 Dis 2025, seramai 1,880,069 orang telah menerima manfaat dengan jumlah tuntutan dibayar sebanyak RM1,423,893,319.

“Baki dana berjumlah RM490.9 juta sehingga 31 Dis 2025 menunjukkan skim ini masih berupaya untuk terus memberi manfaat kepada kumpulan sasar.

“Oleh itu, mySalam boleh dianggap berkesan dalam meringankan beban kewangan golongan B40 yang terjejas akibat masalah kesihatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang ingin tahu tahap keberkesanan skim mySalam dalam membantu golongan B40 mendapatkan perlindungan kesihatan khususnya bagi penyakit kritikal dan kos hospitalisasi.

Amir Hamzah berkata Skim mySalam terbukti berkesan dalam membantu golongan B40 mendapatkan perlindungan kesihatan, khususnya bagi penyakit kritikal dan kos hospitalisasi, malah kadar penggunaan skim itu juga menunjukkan trend yang memberangsangkan.

Beliau berkata hampir 300,000 orang telah menerima manfaat dengan jumlah tuntutan sebanyak RM276 juta pada tahun lepas, meningkat daripada 190,725 penerima pada 2024.

“Sehingga Mei 2026, anggaran seramai 123,000 penerima menerima manfaat, melibatkan bayaran RM108 juta. Prestasi ini menunjukkan bahawa skim mySalam terus dimanfaatkan secara aktif oleh kumpulan sasar,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) sama ada kerajaan akan melanjutkan skim itu, Amir Hamzah berkata perkara tersebut sedang diteliti memandangkan baki dana mySalam masih berbaki sekitar RM290 juta selepas penggunaan setakat pertengahan tahun ini.

“Kita akan melihat untuk melanjutkan skim mySalam ini untuk tahun depan. Yang pastinya, kerajaan sentiasa peka kepada keperluan untuk melindungi secara sosial golongan yang terkesan dan kita akan melihat cara-cara untuk menambah baik seperti apa yang kita telah buat di masa-masa sebelum ini,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement