KUALA LUMPUR: Seramai 30,000 pemandu kenderaan perdagangan di seluruh negara bakal menerima manfaat menerusi pelaksanaan Program Pemandu Sihat dan Selamat (PSS) yang bermula esok, bagi memastikan kesihatan pemandu sentiasa berada pada tahap optimum, seterusnya meningkatkan keselamatan jalan raya.
Program itu melibatkan pemegang Lesen Vokasional Pemandu (PSV) dan Lesen Memandu Barang (GDL) kategori E serta dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan (MoT), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan melalui sistem pemeriksaan kesihatan yang lebih komprehensif dan berintegrasi bagi golongan berkenaan.
Menurut beliau, laporan pemeriksaan kesihatan akan dimuat naik secara digital dan disepadukan dengan sistem MySikap JPJ bagi memudahkan urusan pembaharuan lesen dan permit berkaitan.
“Melalui pelaksanaan baharu ini, pemandu hanya perlu mendapatkan pemeriksaan di klinik panel yang berdaftar dan doktor akan mengesahkan keputusan serta memuat naik laporan terus ke dalam sistem.
“Ini bermakna proses pembaharuan PSV, GDL dan permit berkaitan menjadi lebih mudah kerana tidak lagi memerlukan penggunaan borang fizikal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Peluncuran Program PSS di sini, hari ini.
Anthony berkata, program itu turut memberi manfaat besar kepada pemandu menerusi subsidi kos pemeriksaan kesihatan yang disediakan Perkeso.
Katanya, menerusi subsidi berkenaan, pemandu hanya perlu membayar RM30 bagi menjalani pemeriksaan kesihatan berbanding kadar biasa antara RM80 hingga RM100 seorang.
“Selain menjimatkan kos, pemeriksaan yang lebih menyeluruh ini dijangka membantu mengesan masalah kesihatan pada peringkat awal sekali gus memastikan pemandu berada dalam keadaan sihat dan selamat ketika berada di jalan raya,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan program boleh dilaksanakan serta-merta menerusi rangkaian klinik panel yang berdaftar di bawah kerjasama dengan MMA.
Setakat ini, katanya, sebanyak 500 klinik panel di seluruh negara telah menyertai program berkenaan dengan jumlah itu disasarkan meningkat kepada 3,000 klinik pada masa akan datang.
“MMA turut memberi jaminan bahawa semua pemeriksaan akan dilaksanakan mengikut piawaian dan kriteria yang ditetapkan bagi memastikan tahap kesihatan pemandu dinilai secara menyeluruh,” katanya.
Bagi fasa pertama, program itu menyasarkan sekurang-kurangnya 30,000 pemandu berusia antara 40 hingga 59 tahun yang dikenal pasti sebagai kumpulan berisiko tinggi.
Program berkenaan akan dilaksanakan sepanjang enam bulan kedua tahun ini, bermula Julai hingga Disember, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM12.4 juta.
Daripada jumlah itu, RM7 juta disalurkan oleh Perkeso manakala baki RM5.4 juta diperuntukkan oleh Kementerian Kewangan, dengan keberkesanan program akan dinilai pada penghujung tahun sebelum kerajaan mempertimbangkan penambahan peruntukan dan peluasan pelaksanaannya kepada lebih ramai pemandu pada tahun hadapan.