GURUN: Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan dua anggotanya kini dalam keadaan stabil selepas mengalami kecederaan akibat insiden letupan senjata ketika menjalani Latihan Peningkatan Tempur (LPT) di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah, pada petang Isnin.
Anggota Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD), Sarjan Mohamad Firdaus Che Shaharudin dan Koperal Felix anak Franchis diberikan rawatan kecemasan awal di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan pasukan.
"Mereka kemudian dikejarkan ke Hospital Sik bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Sarjan Mohamad Firdaus telah menerima rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang ke pasukan, manakala Koperal Felix kini sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani,” kata TDM dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut TDM, kejadian berlaku ketika sesi latihan tembakan apabila senjata yang dikendalikan oleh kedua-dua anggota mengalami stoppage atau tersangkut serta tidak meletup.
“Kedua-dua anggota telah melaksanakan tindakan segera mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan bagi menangani situasi berkenaan.
"Walau bagaimanapun, satu letupan telah berlaku secara tiba-tiba mengakibatkan kedua-dua anggota mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terkena serpihan,” menurut kenyataan itu.
Susulan kejadian itu, TDM menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden secara terperinci dan menyeluruh, selain menutup sementara Lapang Sasar Kem Hobart bagi melancarkan proses siasatan.
“TDM memandang serius terhadap insiden ini dan akan memastikan aspek keselamatan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) latihan sentiasa diutamakan,” menurut kenyataan itu lagi.
Pada masa sama, TDM meminta orang ramai dan pengguna media sosial supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi anggota dan keluarga mereka.
“Sebarang perkembangan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.