Skip to main content

Malaysia

Geran SejaTi MADANI perkasa ekonomi komuniti di Kuala Pilah menerusi projek nanas MD2

nanas, prn, pertanian
Tay Chwee Bee berkata projek tanaman buah berkenaan diwujudkan bukan sekadar untuk menjana keuntungan, malah sebagai pemangkin ekonomi komuniti setempat. - Foto Astro AWANI

KUALA PILAH: Daripada hanya sebidang tanah yang dahulunya kosong, kini kawasan itu menjadi nadi kepada perusahaan nanas yang semakin berkembang.

Menerusi geran yang dimanfaatkan melalui Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Tay Chwee Bee berkata projek tanaman buah berkenaan diwujudkan bukan sekadar untuk menjana keuntungan, malah sebagai pemangkin ekonomi komuniti setempat.

"Jadi sebenarnya projek ini kita mendapat saluran geran itu daripada kerajaan negeri dengan jumlah RM100,000.

"Selepas mendapat RM100,000 ini, kita perlu mengusahakan semuanya, daripada mencari kawasan yang ketika itu hanya seperti hutan kecil yang kosong sehinggalah menjadi seperti sekarang," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di ladangnya di sini baru-baru ini.

Katanya, bagi tujuan projek pertanian itu, beliau dan rakan pengusaha memilih nanas MD2 selepas mendapatkan pandangan pengusaha tempatan serta bimbingan daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), selain menjalankan kajian mengenai permintaan pasaran.

Katanya, permintaan terhadap nanas MD2 yang tinggi di dalam dan luar negara menjadikan tanaman itu mempunyai prospek komersial yang cerah serta berpotensi menjana keuntungan secara mampan.

"Kita nampak nanas bukan setakat untuk dimakan tetapi nanas juga boleh dijadikan pelbagai produk seperti jem, jus, kuih dan tart, banyak kegunaannya.

"Kemudian, permintaan dari luar negara juga sangat tinggi, contohnya New Zealand.

"Baru-baru ini, pihak LPNM telah mengeksport satu kumpulan buah nanas MD2 bersaiz besar ke New Zealand, jadi bagi saya, MD2 mempunyai masa depan yang sangat cerah," katanya.

Image
NANAS MD2
Permintaan terhadap nanas MD2 yang tinggi di dalam dan luar negara menjadikan tanaman itu mempunyai prospek komersial yang cerah serta berpotensi menjana keuntungan secara mampan. - Foto Astro AWANI

Sementara itu, Setiausaha JPKK Pinggiran Bandar DUN Pilah, Lim Ai Nee berkata permintaan terhadap nanas MD2 sangat tinggi.

"Setiap minggu pun ada orang cari dan dari segi harga, kami jual RM5 sekilogram di Kuala Pilah.

"Namun, kalau buah itu lebih besar, sebenarnya ia boleh mencecah RM6 hingga RM7 sekilogram," katanya.

Image
MARK JA XUN NANAS
AJK JPKK DUN Senaling, Mark Ja Xun berpendapat menceburi bidang pertanian selepas menamatkan persekolahan bukan sesuatu perkata yang dikesali beliau. - Foto Astro AWANI

AJK JPKK DUN Senaling, Mark Ja Xun yang baru berusia 19 tahun pula berpendapat, menceburi bidang pertanian selepas menamatkan persekolahan di peringkat menengah bukan sesuatu perkata yang dikesali beliau.

Malah, beliau turut menggalakkan penyertaan golongan belia dalam sektor pertanian terutamanya mereka yang mempunyai minat.

Image
NANAS PRN PERTANIAN
Persepsi bahawa pertanian adalah industri yang sukar dan tidak menguntungkan perlu diubah. - Foto Astro AWANI

Katanya, persepsi bahawa pertanian adalah industri yang sukar dan tidak menguntungkan perlu diubah.

"Apa yang meyakinkan saya untuk terus mengusahakan tanaman nanas ini ialah saya rasa nanas MD2 memang mempunyai potensi yang besar.

"Satu lagi, pasarannya juga sangat luas jadi saya rasa bidang ini memang boleh diusahakan.

"Saya juga melihat ramai usahawan besar dan jutawan yang berjaya merupakan pengusaha nanas," katanya.

Program Sejahtera Komuniti MADANI atau dikenali sebagai SejaTi MADANI merupakan satu usaha kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggalakkan komuniti tempatan bergerak aktif dalam bidang keusahawanan dan ekonomi setempat.

Menerusi dana tersebut, komuniti boleh mencadangkan pelaksanaan projek dalam pelbagai sektor seperti pertanian, makanan, kraftangan, perkhidmatan, pelancongan serta aktiviti hijau.

Must Watch Video

Advertisement