GEORGE TOWN: Sebanyak 280 individu yang pernah mendapatkan perlindungan di Pusat Transit Harapan Pulau Pinang berjaya memperoleh pekerjaan setakat 31 Mei lepas, hasil pendekatan pemulihan dan pemerkasaan yang dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Kim berkata 52 individu telah ditempatkan di institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta, manakala 82 individu lagi berjaya kembali bersama keluarga masing-masing.
Beliau berkata kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada 33 syarikat yang telah menawarkan peluang pekerjaan kepada klien Pusat Transit Harapan Pulau Pinang kerana peluang pekerjaan merupakan faktor penting dalam membantu mereka keluar daripada kitaran gelandangan dan membina semula kehidupan.
"Kerajaan negeri melalui JKM dan Pusat Transit Harapan Pulau Pinang yang diwujudkan sejak September 2023 mengambil pendekatan lebih komprehensif dengan bukan sahaja menyediakan perlindungan sementara dan makanan malah membuka ruang pemulihan, peluang pekerjaan serta proses reintegrasi semula ke dalam masyarakat.
“Pencapaian yang direkodkan setakat ini membuktikan bahawa apabila bantuan disusun secara sistematik dan berfokus kepada pemerkasaan, perubahan positif dapat dicapai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan COMM@ Love In Transit 2026 (COMM@LiT 2026) anjuran Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) di Pusat Transit Harapan Pulau Pinang, di sini hari ini.
Program kerjasama tahun ketiga berturut-turut itu yang mendapat sokongan berterusan daripada Service-Learning Malaysia–University for Society (SULAM-USM) itu bertemakan Social Responsibility, Empowering Lives.
Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM Prof Madya Dr Bahiyah Omar berkata inisiatif itu diwujudkan sebagai projek Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) jangka panjang yang bertujuan memperkukuh pembangunan komuniti mampan melalui penglibatan dan pemerkasaan berterusan.
Beliau berkata COMM@LiT 2026 bukan sekadar program jangkauan komuniti jangka pendek, sebaliknya memberi pengetahuan praktikal, kemahiran mampan dan peluang penyertaan aktif kepada komuniti bagi menyumbang kepada kesejahteraan jangka panjang serta pemerkasaan sosial.
"Sebagai sebahagian daripada agenda yang berteraskan kelestarian, pelbagai pertandingan dan pameran turut dianjurkan sepanjang program, termasuk aktiviti pertanian tanah, pertanian hidroponik, pengkomposan, penghasilan seni daripada bahan kitar semula serta transformasi produk mesra alam.
"Inisiatif itu menggalakkan peserta mengamalkan penggunaan yang bertanggungjawab, menjaga alam sekitar serta meneroka penyelesaian kreatif yang menyokong kelestarian dalam komuniti," katanya.
-- BERNAMA