Skip to main content

Malaysia

Forum Nikkei: Kekuatan Malaysia-Jepun saling melengkapi bina ekosistem teknologi berdaya tahan - PM Anwar

Sumber: Astro AWANI
Perdana Menteri Anwar menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31: Masa Depan Asia bertajuk Mendepani Ketidaktentuan Strategik, di Tokyo, pada Rabu. - Gambar Astro AWANI

TOKYO: Hubungan Malaysia-Jepun mempunyai ruang besar untuk diperkukuh dalam sektor strategik termasuk semikonduktor, tenaga dan ekonomi digital, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, kerjasama dua hala itu penting ketika dunia berdepan tekanan terhadap rantaian bekalan global akibat persaingan geopolitik.

Beliau berkata, Malaysia dan Jepun mempunyai kekuatan yang saling melengkapi khususnya dalam industri semikonduktor.

“Malaysia mempunyai keupayaan dalam pemasangan, ujian serta pembungkusan maju, manakala Jepun menerajui bidang bahan, peralatan dan pembuatan berteknologi tinggi,” katanya.

Menurut beliau, gabungan kepakaran kedua-dua negara mampu membantu membina ekosistem teknologi yang lebih kukuh dan bersepadu ketika rantaian bekalan dunia semakin terdedah kepada gangguan.

Anwar berkata, langkah seterusnya dalam kerjasama serantau tidak lagi hanya berkisar mengenai akses pasaran, tetapi bagaimana negara dapat memperkukuh daya tahan ekonomi, membina rantaian bekalan dipercayai serta mempercepat peralihan tenaga.

Dalam bidang kecerdasan buatan (AI), beliau berkata, teknologi itu mempunyai potensi besar untuk meningkatkan produktiviti dan membuka peluang pembangunan, namun tadbir urusnya perlu memastikan manfaat dapat dinikmati secara lebih meluas.

Kata Perdana Menteri, masa depan AI tidak seharusnya ditentukan hanya oleh beberapa kuasa teknologi atau syarikat swasta besar, sebaliknya negara membangun perlu mempunyai suara dalam membentuk peraturan serta kerangka tadbir urus teknologi tersebut.

Dalam masa sama,  beliau menyatakan, kerjasama dalam tenaga bersih dan ekonomi digital perlu memastikan kemajuan teknologi bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

“Hubungan Malaysia-Jepun perlu terus berasaskan kepercayaan dan manfaat bersama bagi memastikan kerjasama ekonomi menghasilkan impak nyata kepada rakyat,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31: Masa Depan Asia bertajuk Mendepani Ketidaktentuan Strategik, di sini, pada Rabu.

Must Watch Video

Advertisement