Skip to main content

Malaysia

Fared nafi dakwaan dikaitkan siasatan KUIJSI, beri Puad 24 jam mohon maaf

Mohd Fared Mohd Khaled
Menurut Mohd Fared, beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang siasatan yang dijalankan SPRM sebagaimana didakwa. - Gambar Facebook Mohd Fared

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dengan isu tatakelola, kronisme dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melibatkan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Ahli Dewwan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu berkata, beliau berasa sedih dan dukacita apabila namanya dikaitkan dalam dakwaan yang dibangkitkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau menegaskan dakwaan tersebut merupakan tohmahan jahat dan fitnah yang tidak bertanggungjawab.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa dakwaan yang mengaitkan saya tersebut adalah satu tohmahan jahat dan fitnah yang tidak bertanggungjawab oleh Datuk Puad," katanya.

Menurut Mohd Fared, beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang siasatan yang dijalankan SPRM sebagaimana didakwa.

Malah, beliau memaklumkan telah melepasi saringan SPRM sebelum dipilih semula untuk bertanding sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.

Sehubungan itu, Mohd Fared menggesa Mohd Puad menarik balik kenyataan terbabit, memohon maaf secara rasmi dan memadamkan hantaran berkenaan dalam tempoh 24 jam.

Katanya, permohonan maaf tersebut perlu dibuat menerusi semua platform media agar dapat difahami oleh masyarakat umum.

"Kegagalan Datuk Puad berbuat demikian, satu prosiding guaman saman fitnah akan saya mulakan terhadap Datuk Puad bagi membersihkan nama baik saya daripada tohmahan jahat dan fitnah tidak bertanggungjawab tersebut," katanya.

Mohd Fared bagaimanapun berkata beliau yakin perkara itu dapat diselesaikan secara baik serta menjadi contoh dalam menjaga adab dan akhlak sesama umat Islam.

Mohd Puad menerusi hantaran di Facebook mempersoalkan status siasatan SPRM terhadap KUIJSI yang didakwa berlangsung pada 26 Mac lalu dan membabitkan isu tatakelola serta kronisme.

Dalam hantaran itu, beliau meminta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menjelaskan perkembangan siasatan berkenaan.

Mohd Puad turut mendakwa nama Mohd Fared, yang disifatkannya sebagai Pengerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah MARSAH Sdn Bhd, dikaitkan dalam isu tersebut.

Selain itu, beliau mendakwa terdapat keputusan tertentu yang dibuat tanpa persetujuan Lembaga Pengarah KUIJSI sehingga menimbulkan dakwaan kronisme dan pilih kasih.

Beliau juga berkata satu mesyuarat khas bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dikatakan telah diadakan pada 5 Jun lalu bagi membincangkan isu berkenaan, namun mendakwa resolusi yang dicapai tidak dibawa ke peringkat lembaga pengarah untuk tindakan susulan.

Menurut Mohd Puad, isu itu perlu diberi perhatian memandangkan KUIJSI dijadual dinaik taraf sebagai universiti penuh pada tahun depan.

Sementara itu, MARSAH Sdn Bhd menegaskan siasatan SPRM yang dijalankan adalah terhadap mantan pegawai MARSAH dan bukan terhadap Mohd Fared.

Dalam kenyataan rasmi susulan, MARSAH memaklumkan pihaknya telah menerima makluman daripada SPRM bahawa tiada siasatan SPRM terhadap Mohd Fared selaku Pengerusi MARSAH.

Justeru, MARSAH menyifatkan dakwaan yang mengaitkan Mohd Fared dengan sebarang salah laku atau siasatan SPRM sebagai tidak berasas dan tidak selari dengan fakta yang dimaklumkan oleh agensi berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement