BATU PAHAT: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan syarikat telekomunikasi (telco) masih culas dalam menangani masalah liputan Internet di kawasan luar bandar walaupun mempunyai data yang mencukupi untuk mengenal pasti lokasi bermasalah.
Sehubungan itu, beliau akan memanggil semua syarikat telco bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mendapatkan penjelasan dan mempercepat tindakan penambahbaikan di kawasan yang masih berdepan isu capaian Internet.
"Saya lihat ada satu sikap di pihak telco, mereka culas... kita ada data dan mereka juga ada data tetapi saya rasa data itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
"Rakyat mengharapkan 5G tetapi tahap kelajuan mereka menyelesaikan masalah pelanggan mungkin pada tahap 2G ataupun Edge," katanya kepada pemberita selepas meninjau masalah telekomunikasi di Kampung Parit Jepon, Bukit Naning semalam.
Fahmi berkata beliau turut membawa Pengarah MCMC Johor Syed Isa Shekh Alsagoff untuk meninjau sendiri keadaan di kawasan itu selepas menerima aduan penduduk mengenai masalah liputan telekomunikasi.
Beliau berkata MCMC akan mengeluarkan notis kepada syarikat telekomunikasi supaya melaksanakan kerja pengoptimuman liputan dengan segera memandangkan terdapat sebuah menara telekomunikasi di Bukit Naning namun isyaratnya masih gagal meliputi Kampung Parit Jepon dan kawasan sekitar.
Selain pengoptimuman rangkaian sedia ada, Fahmi berkata perancangan pembinaan menara baharu juga akan dipertimbangkan bagi meningkatkan liputan di kawasan Batu 14, Batu 15 dan Batu 16.
Beliau berkata faktor bentuk muka bumi serta ladang kelapa sawit dan nanas yang luas turut memberi kesan terhadap kekuatan isyarat di kawasan berkenaan.
Mengulas isu sama di kawasan lain yang sedang pesat membangun, Fahmi berkata perkara itu akan dibangkitkan semasa pertemuan dengan pihak telco kerana masih terdapat lokasi yang tidak dimasukkan dalam perancangan naik taraf rangkaian di bawah program berkaitan.
"Saya datang sendiri susulan arahan Perdana Menteri supaya menteri-menteri turun padang melihat keadaan sebenar.
“Kalau boleh, CEO syarikat telco juga patut bersama dengan saya supaya mereka sendiri merasai kesukaran yang dihadapi penduduk apabila talian komunikasi sering terganggu," katanya.
-- BERNAMA