Skip to main content

Malaysia

F1 kembali ke Sepang hasil diplomasi diraja Sultan Ibrahim, Raja Bahrain

Kembalinya perlumbaan Formula 1 (F1) ke Malaysia merupakan hasil kejayaan diplomasi diraja yang memperlihatkan hubungan erat serta kepercayaan tinggi antara KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, Raja Bahrain.  -- FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Penganjuran GP Bahrain di Sepang itu dimuktamadkan selepas perbincangan menerusi panggilan telefon di antara Raja Bahrain dan Yang di-Pertuan Agong bagi mencari penyelesaian terhadap ketidaktentuan kalendar F1 akibat konflik bersenjata di Asia Barat. -Foto Facebook

KUALA LUMPUR: Perlumbaan berprestij Formula 1 (F1) bakal kembali mewarnai Litar Antarabangsa Sepang Petronas menerusi penganjuran Grand Prix (GP) Bahrain, hasil kejayaan diplomasi diraja di antara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, baginda bertitah kejayaan itu selepas kali terakhir dianjurkan sembilan tahun lalu dicapai susulan hubungan erat serta persahabatan peribadi yang terjalin di antara Seri Paduka Baginda dan Raja Hamad sejak tahun 2017.

Penganjuran GP Bahrain di Sepang itu dimuktamadkan selepas perbincangan menerusi panggilan telefon di antara Raja Bahrain dan Yang di-Pertuan Agong bagi mencari penyelesaian terhadap ketidaktentuan kalendar F1 akibat konflik bersenjata di Asia Barat.

“Perbincangan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra serta semangat persahabatan itu menjadi titik tolak kepada kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan Fédération Internationale de l’Automobile (FIA).

“Hasil persefahaman itu, persetujuan berjaya dicapai untuk menganjurkan Formula 1 Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Petronas Sepang,” menurut hantaran itu lagi.

Keputusan menjadikan Litar Antarabangsa Sepang Petronas sebagai tuan rumah ganti bagi GP Bahrain itu mendapat sambutan positif, khususnya dalam kalangan peminat sukan permotoran di Malaysia dan rantau ini.

Kejayaan ini sekali gus mencipta sejarah tersendiri yang mencerminkan kukuhnya hubungan diplomasi diraja antara kedua-dua pemimpin, susulan Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Bahrain pada 2025.
 

Must Watch Video

Advertisement