Skip to main content

Malaysia

Empat stesen JPS di Selangor rekod paras air sungai melebihi tahap amaran

Paras Air Sungai_Threads @azleee77
Sebanyak empat stesen pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan paras air sungai melebihi tahap amaran setakat 8.15 malam tadi. - Gambar Threads @azleee77

SHAH ALAM: Sebanyak empat stesen pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan paras air sungai melebihi tahap amaran setakat 8.15 malam tadi.

Berdasarkan data menerusi portal PublicInfo Banjir di publicinfobanjir.water.gov.my, stesen terbabit ialah Sungai Bakul di Kampung Budiman, Petaling; Sungai Rasau di Taman Desa Kemuning, Klang dan Tugu Keris, Klang; serta Sungai Binjai di Pekan Meru, Klang.

Menurut portal itu, tahap amaran menunjukkan paras air sungai menghampiri aras banjir dan penduduk di kawasan terlibat disaran bersiap sedia untuk berpindah sekiranya diperlukan.

Sementara itu, beberapa pengguna media sosial turut berkongsi situasi banjir di beberapa kawasan di sekitar Shah Alam, selain memaklumkan siren amaran banjir dibunyikan petang Sabtu.

Seorang pengguna Threads, @azleee77, memaklumkan, siren amaran pertama dibunyikan pada 5.45 petang sebelum bertukar kepada siren bahaya pada 6.40 petang.

"Siren pertama (amaran) dibunyikan pada 5.45 petang, manakala pengumuman bertukar kepada siren bahaya pada 6.40 petang," katanya. 

Seorang lagi pengguna Threads, @miazays, berkongsi keadaan banjir di sekitar Central i-City, Shah Alam yang memperlihatkan paras air  meningkat di kawasan berkenaan.

Setakat ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) belum mengesahkan situasi banjir di kawasan berkenaan. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement